
BAGAN SERAI: Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Ustaz Idris Ahmad berharap agar kerja baik pulih Jalan Semanggol-Changkat Lobak yang rosak dilakukan segera demi kemudahan dan keperluan harian penduduk setempat.
Beliau memaklumkan telah menghubungi Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kerian, Ir Amisah Ahwang malam tadi untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai kerja-kerja baik pulih jalan tersebut.
“Kita telah minta pihak JKR Kerian untuk memperbaiki dengan kadar segera jalan yang retak dan mendap untuk kemudahan penduduk kampung,” katanya dalam media sosial miliknya hari ini.
Ustaz Idris turut menekankan kepentingan jalan berkenaan sebagai laluan alternatif ke pekan Bagan Serai, terutamanya jika Jalan Persekutuan Alor Pongsu-Selama ditutup akibat banjir.
Naib Presiden PAS itu menambah, bahawa jalan itu juga menjadi laluan utama bagi ibu bapa menghantar anak ke sekolah serta penduduk yang pergi bekerja.
“Kebetulan, pada masa sekarang adalah musim hujan dan kawasan itu merupakan kawasan banjir serta berpotensi untuk ditutup pada bila-bila masa sahaja jika keadaan tidak mengizinkan,” jelasnya.
Menurut beliau, kerja-kerja baik pulih telah bermula sejak semalam dan dijangka siap dalam tempoh terdekat bergantung kepada keadaan cuaca.
Idris turut menjelaskan bahawa prosedur tertentu perlu dipatuhi, termasuk menangguhkan kerja konkrit dan premix jika hujan lebat.
Hal itu menurutnya, penting bagi memastikan kualiti jalan terjamin dan kerosakan tidak berulang pada masa hadapan.
“Insya-Allah, kita doakan semoga urusan pihak JKR Kerian dipermudah Allah SWT untuk kerja-kerja baik pulih segera diselesaikan demi kebaikan penduduk kampung, terutama pada musim banjir,” katanya.
Beliau juga menegaskan pentingnya penyelesaian tuntas untuk memastikan struktur jalan utama yang mengalami keretakan dan mendapan diperbaiki dengan baik dan cermat, demi kepentingan semua pihak. – HARAKAHDAILY 30/11/2024












