
SIK: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor meluangkan berkesempatan melawat dan menyantuni mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Betong, di sini hari ini.
Pada lawatan itu beliau juga menyampaikan sumbangan kepada mangsa terbabit dengan turut disertai Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pegawai Daerah Sik, Faisal Rizal Mohammad.
Setakat ini, jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 4,378 mangsa daripada 1,432 keluarga yang ditempatkan di 34 pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini.
Seramai 1,708 mangsa di daerah Kubang Pasu dipindahkan ke 13 PPS manakala seramai 361 mangsa di daerah ini berteduh di enam PPS.
Di Padang Terap, seramai 1,145 mangsa banjir di sembilan PPS, sementara di Pokok Sena mencatatkan bilangan mangsa seramai 429 orang yang kini ditempatkan di tiga PPS.
Banjir yang kini mula merebak ke Daerah Kota Setar, telah mengakibatkan 735 mangsa yang terjejas dan kini berpindah ke tiga PPS.


Sementara, lima sungai mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Laka di Kampung Padang Pasir dan Sungai Perik di daerah Padang Terap.
Sanusi pada sidang medianya semalam, menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko berlaku banjir, agar berwaspada dan menjaga diri serta ahli keluarga, serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.
Beliau juga memaklumkan semua daerah telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, namun mengharapkan agar air yang melimpah di empangan dan sungai-sungai segera surut.
Dalam pada itu kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar juga dinaiki air. – HARAKAHDAILY 29/11/2024












