
ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) terpaksa memberhentikan operasi tujuh Loji Rawatan Air (LRA) berikutan peningkatan paras sungai ke tahap kritikal di muka sauk, maklum syarikat itu melalui kenyataannya hari ini.
Henti tugas menurut syarikat tersebut telah menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual di sebahagian kawasan daerah Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling.
“Kejadian ini berlaku berpunca daripada hujan yang berterusan sejak beberapa hari yang lalu,” jelas kenyataan itu turut memaklumkan, antara LRA terkesan setakat jam 7:00 malam hari ini adalah LRA Lubuk Merbau, Jeniang Baru, Jeniang Lama, Jeneri, Nami, Teloi Kanan dan LRA Sungai Limau, Baling.
Manakala LRA utama katanya, seperti LRA Pelubang, Bukit Pinang, Sungai Petani/Pinang Tunggal masih beroperasi pada tahap optimum ketika ini dengan hasil pemantauan berterusan SADA di muka sauk LRA tersebut menunjukkan masih berlaku trend peningkatan pada paras sungai terbabit.
“Oleh itu SADA telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal. (Seperti) Pusat Pemindahan Sementara (PPS), hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu SADA memaklumkan bantuan bekalan air alternatif melalui tiga lokasi Pusat Agihan Bantuan (PAB) turut diaktifkan iaitu di Masjid Muhammad Kampung Pulau Tengah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang di daerah Pendang dan Masjid FELDA Lubuk Merbau di daerah Padang Terap.
Sementara jelas SADA lagi, jangkaan bagi LRA-LRA yang terkesan untuk beroperasi semula belum dapat dipastikan buat masa ini memandangkan paras air masih lagi pada tahap kritikal dan hampir menenggelamkan aset-aset mekanikal dan elektrikal di LRA tersebut.
“Para pengguna di kawasan-kawasan lain dinasihatkan agar membuat persediaan awal dengan membuat takungan bekalan air bagi kegunaan selama dua hari dan menggunakannya secara berhemah.
“Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari masa ke masa menerusi platform media sosial dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my atau hubungi i-SADA di talian 1300-88-0017,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 29/11/2024











