
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memperluaskan penggunaan teknologi Starlink bagi meningkatkan capaian internet di kawasan luar bandar, khususnya di kawasan terpencil seperti Jerantut.
Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), berkata teknologi itu perlu dinilai keberkesanannya dan diperkenalkan di kawasan pedalaman yang masih menghadapi masalah capaian internet.
“Bagaimana kerajaan menilai keberkesanan penggunaan Starlink ini? Kerana kalau ianya sesuai untuk dipasang di kawasan yang terpencil di luar bandar, barangkali ia boleh dipasang juga di kawasan-kawasan parlimen luar bandar, khususnya di Jerantut.
“Yang keduanya, bagaimana pula, dengan status pemasangan Starlink ini di pusat-pusat pendidikan yang di daerah terpencil ataupun di kawasan pusat untuk meningkatkan keberkesanan internet di kawasan pendidikan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut meminta kementerian memperincikan syarat-syarat permohonan bagi pemasangan Starlink di kawasan luar bandar Jerantut.
“Saya juga ingin penjelasan secara bertulis sama ada terdapat pemasangan Starlink di Jerantut serta syarat untuk kami memohon pemasangan di kawasan kami,” tambah beliau.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam jawapannya berkata, Starlink ialah perkhidmatan yang boleh ditempah secara terus tanpa monopoli kerajaan atau MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), menawarkan pilihan standard untuk kegunaan rumah dan versi lebih canggih untuk komuniti kecil.
Katanya, jawapan terperinci secara bertulis mengenai perkara itu dijangka disediakan dalam tempoh lima hari bekerja.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan status terkini permohonan pemasangan STARLINK di kawasan Empangan Bengoh yang melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Muk Ayun, Kampung Nyegol dan Kampung Sting yang merupakan pusat tarikan pelancong dari dalam dan luar negara, maka liputan internet amat diperlukan dan bilakah liputan internet dan telekomunikasi di seluruh kawasan Parlimen Puncak Borneo dapat diselesaikan. – HARAKAHDAILY 28/11/2024











