
KUALA LUMPUR: Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) menegaskan keperluan mendesak untuk membina semula Klinik Kesihatan Pulau Ketam bagi menjamin akses kesihatan yang lebih baik dan selamat kepada penduduk serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Dr. Halimah, klinik tersebut yang mula beroperasi sejak 1960 telah ditutup pada 24 Disember 2018 selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan bangunan itu tidak lagi selamat akibat kerosakan struktur tiang konkrit.
Buat masa ini, perkhidmatan kesihatan diteruskan di bangunan sementara Dewan Rukun Tetangga berhampiran.
“Pulau Ketam dihuni kira-kira 7,000 penduduk tetap dan menerima 4,000 hingga 8,000 pelancong setiap tahun. Namun, kesukaran akses ke perkhidmatan kesihatan sangat membebankan, terutamanya bagi kes kecemasan seperti serangan jantung, apendiks, atau bersalin, lebih-lebih lagi pada waktu malam,” katanya.
Dr. Halimah turut mendedahkan bahawa KKM telah memohon projek roboh dan bina semula klinik serta kuarters melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Rolling Plan 1, tetapi ia tidak diberi keutamaan.
Beliau menggesa agar permohonan itu disegerakan dalam rolling plan akan datang.
“Bayangkan pesakit perlu turun dari jeti ke bot, mengambil masa 30 minit ke Pelabuhan Klang, kemudian menunggu ambulans atau kenderaan lain. Situasi ini sangat tidak wajar, terutamanya jika melibatkan nyawa,” ujarnya.
Dr. Halimah berharap agar KKM segera memberi perhatian serius terhadap isu itu demi kesejahteraan penduduk Pulau Ketam dan petugas kesihatan yang berkhidmat di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni berterima kasih kepada Halimah atas kebimbangan yang dibangkitkan mengenai kemudahan kesihatan yang mendesak
Menurutnya, kerajaan sedang mengusahakan perkara tersebut dan akan memberikan jawapan bertulis yang komprehensif, serta menyemak semula dan merujuk klinik berkaitan. – HARAKAHDAILY 28/11/2024











