
KOTA BHARU: Speaker Dewan Negeri Kelantan membuat keputusan bijak apabila menangguhkan persidangan Dewan Negeri Kelantan (DUN) lebih awal berikutan banjir yang melanda di banyak tempat sejak semalam.
Sepatutnya sidang DUN berakhir hari ini, namun Dato’ Mohd Amar Abdullah menangguhkan sidang lebih awal.
Sebaliknya Dewan Rakyat tidak ditangguh biarpun banyak tempat di negara ini dilanda banjir.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud merakamkan penghargaan kepada Speaker kerana mengambil keputusan tepat bagi memastikan semua pihak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada usaha membantu rakyat yang menghadapi musibah banjir.
Bagaimanapun katanya, persidangan DUN kali ini meluluskan tujuh Rang Undang-Undang (RUU) dengan sebulat suara untuk kesejahteraan dan kemakmuran negeri.
“Ini merupakan hasil kerjasama erat semua pihak termasuk Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan pembangkang yang memainkan peranan penting dalam proses semak dan imbang.
“Ucapan terima kasih juga kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang memberi komitmen penuh dalam perbahasan dan perbincangan demi kepentingan rakyat,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Sejurus selepas sidang DUN ditangguhkan semalam Menteri Besar meninjau lokasi banjir di Bandar Baru Tunjong, manakala Mohd Amar melawat mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara di DUN Panchor.
Menteri Besar juga berkata, dalam situasi genting sekarang semua wakil rakyat disaran mendekati dan menyantuni rakyat di kawasan masing-masing yang terkesan dengan banjir.
Kata beliau sokongan moral, bantuan keperluan asas dan penyelarasan tindakan bersama agensi-agensi berkaitan begitu penting dalam meringankan beban yang dihadapi mangsa-mangsa banjir.
Sementara itu Mohd Nassuruddin yang juga ADUN Meranti membantu memindahkan mangsa banjir yang mengalami strok di Kampung Meranti. (Foto atas)
Penduduk terbabit dipindah ke dalam bot untuk dibawa ke PPS berdekatan. – HARAKAHDAILY 28/11/2024











