Sifar miskin tegar: Laporan ‘cantik’, realiti rakyat?

- Advertisement -

SEREMBAN: Kerajaan Negeri diminta agar tidak terlalu selesa dengan laporan-laporan yang ‘cantik’ di atas kertas mengenai status miskin tegar, namun tidak melihat realiti masyarakat di lapangan.

- Advertisement -

Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) berkata, laporan daripada Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun bahawa Negeri Sembilan telah mencapai sasaran sifar miskin tegar setakat 15 Oktober lalu telah mengundang perdebatan umum.

“Perkara ini telah menjadi perdebatan umum sejak YAB Menteri Besar pertama kali mengumumkan perkara yang sama pada sekitar Disember 2023, dan juga YAB Perdana Menteri pada Februari 2024 yang meliputi bukan hanya Negeri Sembilan, tetapi juga di Kuala Lumpur dan Melaka.

“Antara perkara yang menjadi perdebatan adalah kayu ukur untuk mendefinisikan miskin tegar sama ada menggunakan purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) mengikut Kementerian Ekonomi.

“Atau pendapatan Ketua Isi Rumah (KIR) mengikut Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),” persoalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Belanjawan 2025 Negeri Sembilan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini semalam.

Kamarol dalam pada itu turut mengulas kenyataan Aminuddin yang memaklumkan bahawa pihak kerajaan masih perlu terus memberikan perhatian khusus kepada seramai 1,258 orang yang berada dalam kategori mudah miskin tegar.

“Saya tidak rasa ia setakat itu sahaja. Kita semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Negeri Sembilan telah diberi taklimat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Baru-baru ini, dilaporkan jumlah asnaf fakir dan miskin di Negeri Sembilan setakat Jun 2024 adalah seramai 5,424 orang yang mana tiga kawasan tertinggi ialah di kawasan Kuala Pilah, Rembau, dan Port Dickson.

“Mesej saya di sini, janganlah laporan-laporan yang cantik di atas kertas membuat kerajaan negeri selesa dan tidak melihat realiti masyarakat di lapangan yang kini berhempas pulas mencari rezeki demi meneruskan hidup yang serba mencabar ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024

- Advertisement -