
KUALA LUMPUR: Kelab Usahawan (KU Haraki) PAS bertekad mewujudkan gelombang kebangkitan dalam kalangan usahawan Muslim di negara ini, kata Setiausaha KU Haraki PAS Pusat, Dato’ Suhaili Yusop.
Menurut beliau, pihaknya yakin ini adalah waktu yang tepat kepada usaha itu dalam suasana ekonomi tidak menentu ditambah dengan konflik terhadap para usahawan Bumiputera.
Maklumnya, misi KU Haraki adalah menyediakan platform dan jaringan bagi membantu usahawan Muslim dengan mewujudkan instrumen pengumpulan dana dan kepakaran.
Jelasnya, inisiatif tersebut adalah untuk memperkukuhkan usahawan bagi menjuarai isu-isu ekonomi dan perniagaan, sesuai visi KU Haraki menjadi penghubung usahawan Muslim ke peringkat nasional dan global.
Maklum beliau, intervensi KU Haraki kepada memacu perkembangan tersebut telah mengadakan Permukiman Usahawan bersama Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (LEPU) PAS Pusat.
Katanya, program menghimpunkan para Pengarah, Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa KU Haraki dan LEPU Pusat serta 11 Negeri itu telah berlangsung di DITC Kemaman, Terengganu pada awal bulan lalu.
“Antara agenda yang dibincangkan ialah aktiviti pmasaran, latihan, branding dan sumber dana. Selain pemukiman tersebut, KU Haraki juga sedang mengumpulkan maklumat para usahawan dalam kalangan Ahli PAS,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024












