
KUALA LUMPUR: Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) menegaskan bahawa pajakan 62 set kereta api kepada negara China memberi implikasi negatif kepada rakyat.
Beliau menyatakan bahawa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) adalah pengangkutan yang paling lama diwujudkan di Malaysia iaitu 136 tahun.
Kata beliau, pajakan tersebut juga memberi kesan terutamanya dalam penghakisan pekerja-pekerja syarikat KTMB itu sendiri.
“Jadi saya ingin bertanya apakah jaminan kerajaan bahawa sepanjang tempoh pajakan nasib pekerja-pekerja KTMB ini tidak terjejas apatah lagi dengan jangka hayat kereta api sedia ada?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, jangka hayat kereta api tersebut sudah tentu akan tamat dan kemudiannya diganti dengan kereta api yang dibuat dari negara China.
Tambah beliau, sudah tentu kereta api tersebut memerlukan penyelenggaraan daripada pekerja-pekerja KTMB seperti elektrifikasi dan seumpamanya.
“Jadi, bagaimana pekerja-pekerja ini ingin menyelenggara dan mengawal sistem sedia ada seperti elektrik dan seumpamanya?” ujarnya.
Beliau menegaskan perkara-perkara sebegini perlu kerajaan mengambil perhatian memandangkan segala sistem dan teknologi kereta api tersebut adalah daripada negara China itu sendiri. – HARAKAHDAILY 27/11/2024











