King Sing biadab, gesa tindakan tegas kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta menggunakan kedudukan, pengaruh dan kuasa melakukan rundingan dengan parti komponen Kerajaan Madani menggugurkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing daripada menganggotai Ahli Jemaah Menteri.

- Advertisement -

Ini selepas kontroversi Menteri itu yang mengkritik penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda iklan berbahasa Cina kerana dikatakan mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya.

Pengerusi Sekretariat Belia Gerakan Pembela Ummah, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengusulkan kepada Ahli-Ahli Jemaah Menteri agar Tiong King Sing disiasat.

“Diambil tindakan sewajarnya dan direhatkan daripada melaksanakan tugas-tugas beliau sebagai Menteri penuh dalam negara ini. Kami mengecam tindakan King Sing yang melabelkan tindakan DBKL tempoh hari sebagai ‘menampakkan imej autoritarian dan terkebelakang’.

“Ini adalah tindakan yang rendah akal budi, biadab dan angkuh daripada seorang Menteri Madani hari ini. Hakikatnya beliau sendiri telah merosakkan imej Malaysia yang masyhur di mata dunia dengan keunikan serta kekuatan rakyat Malaysia.

“Yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan agama, namun bersatu di atas Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Faizzuddin berkata, King Sing sepatutnya bersama dengan aspirasi DBKL menggesa pengusaha-pengusaha dalam negara mengangkat Bahasa Melayu sebagai nilai serta keunikan utama Malaysia di mata dunia ini demi meningkatkan kualiti kempen negara sebagai destinasi pelancongan dunia.

“Menteri Pelancongan tidak boleh terus ‘bermusuh’ dengan pihak penguatkuasa dalam kalangan penjawat awam apabila gagal atau miskin idea dalam melaksanakan tugas beliau sebagai Menteri. Sikap ini sangat tidak bertanggungjawab dan tidak beretika bagi seorang Menteri.

“Pemikiran yang tidak matang, terkebelakang dan berlawan arus dengan semangat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan ini adalah ancaman besar buat negara,” katanya.

Terdahulu media melaporkan King Sing mengkritik penguatkuasaan DBKL terhadap papan tanda iklan berbahasa Cina kerana ia mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024

- Advertisement -