
SHAH ALAM: Sistem pentadbiran di Mahkamah Syariah perlu ditambah baik bagi menangani peningkatan jumlah kes yang tertunggak.
Nurul Syazwani Noh (PN-Permatang) berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan dasar baru untuk menangani masalah itu secara holistik agar kes-kes tertunggak dapat diselesaikan dengan lebih cepat.
“Sekarang ini jumlah hakim yang sedia ada di Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai lima orang, manakala Mahkamah Rendah Syariah mempunyai 22 orang.
“Selain itu, jumlah kes penceraian yang meningkat dan berbagai-bagai lagi kes hadanah dan sebagainya turut meningkat pada setiap tahun. Kita lihat sepertinya bilangan hakim tidak dapat menampung dengan jumlah kes yang bertambah ini.
“Adakah terdapat tindakan dasar untuk menambah, bukan sahaja dari segi bilangan hakim atau penjawat awam (yang berkelayakan) untuk membantu mengendalikan kes-kes di mahkamah ini?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Selangor 2025 peringkat jawatankuasa di Persidangan Dewan Negeri Selangor (DUN), di sini hari ini.
Nurul turut memperingatkan di dalam DUN bahawa kes-kes yang terlibat di Mahkamah Syariah banyak melibatkan masalah keluarga, wanita dan kanak-kanak.
“Apabila berlaku kelewatan dalam menyelesaikan kes-kes ini bukan hanya mengakibatkan jumlah kes bertambah, tetapi mengakibatkan tekanan emosi bukan sahaja kepada ibu, juga kepada anak-anak yang terlibat.
“Jadi saya benar-benar berharap kalau ada sebarang dasar baru yang mungkin kita boleh buat untuk menyelesaikan masalah kes-kes yang tertunggak ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024











