Misi dakwah Siswa Amal santuni Orang Asal

Pemberian sumbangan berupa pek keperluan asas kepada salah seorang penduduk kampung Orang Asal di Gerik Perak.
- Advertisement -

SERAMAI 10 sukarelawan Siswa Amal melibatkan pimpinan Siswa PAS telah menyertai misi Dakwah dan Kebajikan menyantuni penduduk kampung Orang Asal di Gerik, Perak hujung minggu lepas.

- Advertisement -

Mewakili Siswa PAS, Muhammad Nuruddin Naziri berkata, penyertaan sukarelawan merupakan anjuran Jabatan Amal Malaysia (JAM) melalui Bahagian Pelapis dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Ilmu & Amal Selangor atau Geng Talaqqi.

“Program ini memberi pengalaman yang sangat berharga dan tidak ternilai buat mahasiswa PAS kerana pengisian dakwah dan kebajikan yang dilaksanakan oleh NGO Geng Talaqqi dan JAM.

“Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah penyampaian tazkirah, kuiz agama, sukaneka, kenduri rakyat, solat jemaah dan penyampaian sumbangan pelbagai barangan keperluan harian.

“Insya Allah program ini akan menjadi rujukan dan modul dalam setiap aktiviti mahasiswa PAS selepas ini,” ujarnya.

Beliau turut berkata, mahasiswa PAS juga diberikan pendedahan mengenai kewujudan JAM di samping sesi taaruf dan perkongsian pengalaman kerja-kerja amal kebajikan yang dikongsi oleh pasukan JAM.

Katanya lagi, mereka juga diberi ruang untuk merancang penglibatan lebih ramai lagi selepas ini dalam program kebajikan dan kemanusiaan tidak kira bangsa dan agama serta apa jua fahaman politik dalam misi kemanusiaan.

Sementara Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelapis JAM, Shehdi Hazrik Shamsudin turut menyatakan hasrat terbuka untuk mengadakan kerjasama program mahasiswa dengan semua badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu berkolaborasi dengan JAM melalui Unit Sukarelawan Siswa Amal ini.

“Insya Allah minggu hadapan kami akan bawa beberapa lagi siswa PAS yang lain bersama Geng Talaqqi ke Kampung Air Balun pula bagi misi Tangle of Love (TOL) bersama pelajar mahasiswa UniSZA dan UTHM.

“Kami membuka tangan seluasnya kepada NGO-NGO yang ingin membawa adik-adik siswa PAS ini bersama program mereka,” ujarnya kepada pihak Harakahdaily.

Justeru kepada mahasiswa diluar sana yang berminat untuk menyertai pelbagai program yang menarik anjuran JAM dan NGO-NGO Islam selepas ini boleh dapatkan link pendaftaran Sukarelawan Siswa Amal di talian 016-559 5347. – HARAKAHDAILY 23/11/2024

- Advertisement -