Sumbangan GLC kepada Selangor FC dipersoal

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) mengemukakan soalan mengenai sokongan daripada syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri terhadap Pasukan Bola Sepak Selangor (Selangor FC).

- Advertisement -

Afif mempersoalkan peranan anak syarikat Kerajaan Negeri dalam menyumbang kepada Selangor FC terutamanya mengenai tajaan kewangan yang diterima oleh pasukan tersebut.

“Saya ucap tahniah atas kejayaan Kerajaan Negeri yang terus menerus membantu Selangor FC dan kita juga bangga kerana pasukan ini tidak ada isu tunggakan gaji dan sebagainya.

“Adakah selain daripada kerajaan negeri terdapat syarikat-syarikat di bawah kerajaan negeri yang turut sama menyumbang dan mungkin boleh dikongsikan berapa yang telah ditaja oleh anak syarikat berkaitan negeri?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, pihaknya akan memberikan jawapan secara bertulis tentang perkara itu.

“Selain itu, kami perlu mendapatkan maklumat yang jelas dan lengkap daripada pihak pengurusan Selangor FC yang melibatkan anak syarikat di pihak kami,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2024

- Advertisement -