Perjuangan PAS langkaui segala batas retorik dan deklarasi

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) terus kekal relevan semenjak  penubuhannya pada tahun 1951. Dalam sejarah politik Malaysia, PAS telah muncul sebagai parti yang unik dan telah mencipta rekod luar biasa sebagai sebuah parti politik yang tidak pernah bergantung kepada deklarasi khas untuk menarik sokongan rakyat. Sebaliknya, kejayaannya dibina atas prinsip Islam melalui pendekatan inklusif yang memenuhi semangat perpaduan nasional.

Prinsip Islam sebagai teras perjuangan

Perjuangan PAS adalah berlandaskan prinsip Rahmatan Lil ‘Alamin (rahmat untuk seluruh alam) yang menekankan keadilan untuk semua, tanpa diskriminasi berdasarkan kaum atau agama.

PAS menampilkan Islam sebagai agama yang mengutamakan kesejahteraan, keadilan sosial dan keharmonian. Pendekatan ini membawa PAS sentiasa segar dan merentasi massa sebagai sebuah parti yang sememangnya sesuai bagi negara Malaysia yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum.

Pentadbiran Kerajaan Kelantan dan negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kedah dan Perlis adalah contoh nyata prinsip ini. Penghormatan terhadap hak minoriti, seiring dengan nilai Islam yang sebenar ditunjukkan oleh PAS apabila peruntukan dan ruang dalam pelbagai sudut diberikan kepada bukan Islam.

PAS mengatasi sentimen perkauman menggunakan kaedah berbeza dari pendekatan politik yang sering menggunakan retorik kaum, PAS menjadikan Islam sebagai penyelesaian kepada perpecahan. Islam menekankan persaudaraan manusia (ukhuwwah insaniyyah) dan menolak diskriminasi. PAS mengaplikasikan nilai ini melalui program kebajikan dan pentadbiran inklusif, yang menghapuskan sempadan perkauman dalam hubungan rakyat.

Pentadbiran Negeri-negeri dengan rekod cemerlang

PAS telah membuktikan keupayaannya mentadbir negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis serta pernah diberi kepercayaan menerajui Perak. Di Kelantan, PAS berjaya mengekalkan pentadbiran sejak 1990, menjadi simbol kekuatan prinsip dan integriti parti. Walaupun berdepan kekangan sumber, Kerajaan Kelantan terus cemerlang dengan pengurusan kewangan yang telus.

Di Terengganu dan Kedah pula, PAS menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat. Bantuan kepada golongan kurang berkemampuan disalurkan tanpa diskriminasi, membuktikan bahawa pentadbiran PAS adalah untuk semua lapisan masyarakat.
Pendekatan ini mencerminkan sifat inklusif PAS dalam melayani rakyat.

Sifat kepimpinan dalam PAS juga mencerminkan keunikan parti ini. Ia menggabungkan pelbagai golongan seperti ulama, profesional, dan aktivis sosial. Struktur ini memberi kekuatan kepada PAS untuk menangani isu-isu rakyat dari pelbagai sudut, termasuk agama, ekonomi, dan sosial. Gabungan kepakaran ini menjadikan kepimpinan PAS lebih dinamik dan mampu memenuhi keperluan masyarakat moden yang terdiri dari pelbagai latarbelakang.

Integriti dan kejujuran dalam kepimpinan PAS memanfaatkan semua

Pentadbiran PAS terkenal dengan integriti dan kejujuran yang tinggi selari dengan hasrat rakyat. Negeri-negeri di bawah pentadbirannya bebas daripada skandal besar, menjadikan PAS sebagai model kepimpinan yang bersih.

Di Kelantan, contohnya, PAS berjaya mengurus kewangan negeri dengan efisien walaupun menghadapi kekangan kewangan akibat sekatan dan halangan Persekutuan. Rekod bersih pentadbiran PAS masih kekal sehingga ke hari ini.

Sikap jujur PAS juga menarik ramai rakyat untuk turut serta dalam setiap program anjurannya. PAS tidak pernah membatasi program kebajikannya kepada masyarakat Melayu Islam sahaja. Melalui badan seperti PASRelief dan Khidmat Malaysia serta beberapa NGO yang lain, bantuan diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

Dalam insiden banjir atau bencana lain, bantuan jentera petugas PAS telah sampai kepada masyarakat pelbagai kaum dengan pantas, membuktikan bahawa keprihatinan mereka tidak mengenal batas sempadan agama atau bangsa.

Institusi pendidikan pra-sekolah di bawah kendalian PAS, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) menerima melebihi 140,000 jumlah pelajar termasuk selain dari bukan Melayu. Langkah ini menunjukkan bahawa PAS percaya pada pendidikan inklusif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

PAS Untuk Semua bukan hanya sekadar slogan tetapi semua lapisan masyarakat menerima PAS sebagai sebahagian dari mereka.

Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP)

Penubuhan dan penaiktarafan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menjadi satu lagi bukti bahawa PAS adalah sebuah parti yang inklusif. DHPP memberikan platform kepada masyarakat bukan Islam untuk menyokong dan terlibat dalam perjuangan PAS dalam menerajui negara ini. Ini adalah langkah signifikan yang membuktikan keterbukaan PAS terhadap semua golongan, selari dengan semangat perpaduan nasional.

DHPP juga telah diberi peluang meletakkan calon bukan Islam dalam pilihan raya, membuktikan kepercayaan PAS terhadap penyertaan pelbagai kaum dalam politik dan pentadbiran negara. Ini memberi keyakinan kepada rakyat bukan Islam bahawa PAS bukan sekadar parti agama, tetapi sebuah entiti politik yang merangkul semua lapisan masyarakat dan kaum.

Mandat rakyat dalam pilihan raya

Kejayaan PAS sepanjang pilihan raya membuktikan keyakinan rakyat terhadap parti ini. Dalam PRU-15, PAS mencatat sejarah dengan memenangi 43 kerusi Parlimen, menjadikannya parti dengan jumlah kerusi tertinggi di Dewan Rakyat.

Di peringkat negeri PAS menerajui 4 kerajaan Perikatan Nasional di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis selain menjadi pembangkang yang kuat di beberapa negeri. Kejayaan ini bukan sahaja hasil sokongan masyarakat Islam semata, tetapi juga rakyat pelbagai kaum yang percaya kepada keadilan dan kebolehpercayaan PAS.

Melalui gabungan Perikatan Nasional (PN), PAS berjaya menarik sokongan bukan Islam di beberapa kawasan yang sebelum ini sukar ditembusi. Pendekatan PAS yang fokus kepada kebajikan dan keseimbangan pembangunan telah mengukuhkan kepercayaan rakyat.

Model kasih sayang dan kebajikan rakyat

Kerajaan negeri diterajui pentadbiran PAS di Kedah, Kelantan, dan Terengganu melaksanakan pelbagai program kebajikan yang mencerminkan kasih sayang terhadap rakyat.

Program Al-It’am dan Beras Sejahtera menyediakan makanan asas kepada golongan miskin tegar, manakala Skim Kifalah membantu keluarga yang kehilangan ahli keluarga dengan sumbangan kewangan untuk meringankan beban mereka.

Selain itu, program seperti Rumah Dhuafat di Kelantan dan Skim Desa Sejahtera di Kedah memastikan rakyat miskin memiliki kediaman yang selesa dan selamat.

Program Dana Darul Iman di Terengganu memberi sokongan kewangan kepada rakyat untuk rawatan perubatan, bantuan kecemasan, dan pendidikan, sementara Tabung Tengku Mahmud menyediakan sumbangan kepada pelajar miskin yang cemerlang.

Skim Permataku Sejahtera pula memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat miskin bagi tujuan pendidikan. Dalam semua negeri ini, pengurusan zakat, wakaf, dan infaq dimanfaatkan secara strategik untuk membantu rakyat pelbagai kaum.

Dana zakat digunakan untuk kebajikan asnaf, wakaf untuk membina kemudahan awam, dan infaq disalurkan kepada keperluan mendesak. Inisiatif ini membuktikan kepimpinan PAS prihatin terhadap kesejahteraan rakyat tanpa diskriminasi.

Model pembangunan ekonomi prihatin rakyat

Kerajaan negeri PAS turut memperkenalkan model pembangunan ekonomi yang inklusif dan inovatif. Program Ar-Rahnu menyediakan pinjaman mikro tanpa faedah untuk membantu usahawan kecil memulakan perniagaan.

Ladang Rakyat pula membuka peluang kepada golongan miskin untuk menikmati hasil perkongsian projek pertanian komersial. Selain itu, pinjaman tanpa faedah ditawarkan untuk menyokong rakyat mengatasi cabaran kewangan tanpa membebankan mereka.

Di Kedah, program Smart Sawah menjadi model inovasi dalam sektor pertanian. Inisiatif ini menggabungkan teknologi moden dan pengurusan tanah secara kolektif untuk meningkatkan hasil padi. Program ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan petani tetapi juga memastikan bekalan makanan negara lebih stabil.

Selain itu, pengurusan zakat, wakaf, dan infaq menyokong usaha ekonomi dengan dana zakat disalurkan kepada asnaf untuk keusahawanan, manakala wakaf digunakan untuk pembangunan infrastruktur ekonomi seperti pasar dan perumahan.

Inisiatif-inisiatif ini mengukuhkan asas ekonomi rakyat, menjadikan kesejahteraan sebagai keutamaan yang dikecapi semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama atau bangsa.

SG4: Model ekonomi bersepadu

Pembangunan ekonomi di bawah pentadbiran PAS dan Perikatan Nasional diperkukuhkan lagi dengan penubuhan State Government 4 (SG4), sebuah gabungan ekonomi strategik yang mengintegrasikan empat negeri di bawah Perikatan Nasional: Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

SG4 bukan sahaja menjadi platform untuk kerjasama ekonomi di antara negeri-negeri ini, tetapi juga bertindak sebagai pemangkin untuk menarik pelaburan domestik dan antarabangsa.

Melalui SG4, pelbagai inisiatif telah dirancang untuk meningkatkan kecekapan ekonomi, termasuk pembangunan sektor pelancongan, perindustrian, dan pertanian. Negeri-negeri ini bekerjasama untuk memanfaatkan sumber semula jadi dan tenaga kerja tempatan secara optimum, menjadikan kawasan SG4 sebagai hab ekonomi yang strategik di Utara dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pendekatan SG4 juga memperlihatkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan hasil pembangunan dinikmati secara langsung oleh rakyat. Projek-projek infrastruktur yang sedang dirancang dan dilaksanakan bukan sahaja memudahkan urusan perdagangan dan pelaburan tetapi juga meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan perbagai kaum melalui penciptaan peluang pekerjaan dan akses kepada perkhidmatan moden.

Kejayaan SG4 bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi negeri-negeri terlibat, tetapi juga mencerminkan bagaimana pendekatan pembangunan ekonomi mampu melangkaui batas tempatan, membawa kemajuan kepada semua lapisan masyarakat.

Gabungan dasar ekonomi yang inovatif, integrasi wilayah, dan keterbukaan terhadap pelaburan asing ini mengukuhkan lagi reputasi PAS sebagai pentadbir yang berpandangan jauh, adil, dan berorientasikan rakyat.

Komitmen kepada Perpaduan Nasional

PAS menunjukkan komitmen serta sokongan terhadap perpaduan nasional melalui dialog antara agama dan budaya. Pemimpin PAS sering menghadiri majlis perayaan masyarakat bukan Islam seperti Tahun Baru Cina, Loy-Krathong dan Deepavali, menunjukkan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya di Malaysia.

Selain itu, program-program dialog antara agama yang dianjurkan PAS memberi ruang kepada masyarakat untuk memahami prinsip Islam yang sebenar. Langkah ini telah membantu menghapuskan prejudis, prasangka dan memperkukuhkan hubungan antara kaum.

Begitu juga setiap ruang dan peluang untuk perpaduan serta penyatuan telah diambil dengan sebaiknya termasuklah dalam gabungan politik. Segala usaha ke arah kesatuan telah diberi komitmen yang tinggi dan diperhalusi oleh kepimpinan PAS.

Taburan Cawangan dan peningkatan keahlian

PAS mempunyai pertambahan cawangan di hampir semua negeri dan kawasan Parlimen, menunjukkan kekuatan akar umbinya. Pertumbuhan cawangan ini melebar dan merebak dari kawasan pedalaman kampung sehinggalah ke bandar-bandar besar.

Keahlian PAS juga semakin bertambah, termasuk penyertaan bukan Islam melalui DHPP. Ini membuktikan bahawa perjuangan PAS semakin diterima dan berakar dalam pelbagai lapisan masyarakat secara mendadak tanpa sebarang insentif.

Pertumbuhan ekponen ini juga mencerminkan keberkesanan PAS sebagai sebuah organisasi politik yang memahami dan memenuhi keperluan serta dapat menyelami denyut nadi rakyat. PAS sudah mampu menjadi agen penyampai keresahan, penyelesai masalah dan pembawa hasrat rakyat.

Keahlian multidimensi dalam PAS memberikan imej bahawa PAS bukan hanya sebuah parti agama semata, tetapi juga parti berwawasan yang mampu menangani isu-isu ekonomi, sosial, dan politik dengan profesionalisme tinggi.

Sikap mesra media dan eksploitasi media baharu

Media sosial kini menjadi platform utama dalam menyampaikan maklumat dan membentuk persepsi masyarakat. Bagi PAS, media sosial telah dimanfaatkan dengan bijak sebagai medium strategik untuk menyampaikan dasar dan matlamat perjuangan parti secara langsung kepada rakyat.

Menjangkaui sebarang deklarasi, PAS berjaya menggunakan platform ini untuk menarik perhatian masyarakat pelbagai lapisan kaum, khususnya generasi muda yang menjadikan media sosial sebagai sumber maklumat utama.

Sifat mesra media PAS membolehkan parti ini mudah didekati dan responsif terhadap isu-isu semasa. Dalam suasana politik yang sering dicemari fitnah dan salah tanggapan, PAS menggunakan media baharu untuk menangkis prasangka dengan menjelaskan pendirian mereka secara telus.

Komunikasi dua hala yang bersasar memastikan mesej parti sampai tepat kepada rakyat, memperlihatkan PAS sebagai sebuah organisasi yang memahami keperluan masyarakat. Pendekatan ini meningkatkan kepercayaan rakyat, bukan sahaja terhadap kejujuran parti, tetapi juga terhadap kebolehan PAS dalam mengadaptasi teknologi baharu untuk kepentingan rakyat dan matlamat perjuangannya.


Kesimpulan

PAS telah membuktikan bahawa ia bukan sahaja sebuah parti politik tetapi juga sebuah gerakan yang memperjuangkan keadilan dan perpaduan untuk semua rakyat Malaysia. Dengan prinsip Islam sebagai asas, PAS berjaya menampilkan model politik yang inklusif, progresif, dan bebas daripada diskriminasi.

Kejayaannya mentadbir negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis menunjukkan keupayaannya untuk merealisasikan dasar-dasar yang berpaksikan keadilan sosial, kebajikan rakyat, dan pembangunan mampan.

Sikap PAS yang mesra semua kaum, serta komitmen terhadap perpaduan nasional, menjadikan parti ini kekal relevan dalam landskap politik Malaysia yang majmuk.

Melalui pentadbiran bersih, rekod integriti tinggi, dan keberhasilan program kebajikan, PAS telah melangkaui keperluan untuk mendeklarasikan prinsip perjuangannya dalam bentuk retorik semata-mata. Sebaliknya, rekod cemerlang dan keberkesanan pentadbiran mereka menjadi bukti nyata yang diterima rakyat.

Selain itu, peranan media sosial dalam menyampaikan mesej perjuangan PAS telah membuka ruang komunikasi yang luas dengan rakyat, khususnya generasi muda. Langkah ini bukan sahaja menjadikan PAS lebih dekat dengan rakyat tetapi juga membentuk persepsi bahawa parti ini bersedia mengadaptasi teknologi baharu untuk manfaat semua lapisan masyarakat.

PAS telah membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti politik yang matang, dinamik, dan relevan dengan tuntutan masa. Keupayaan PAS untuk menyatukan kepelbagaian kepimpinan daripada ulama, profesional, hingga aktivis sosial menunjukkan bahawa parti ini bukan sahaja bersedia menghadapi cabaran semasa tetapi juga berpotensi menerajui masa depan politik negara dengan cemerlang.

Rakyat kini melihat PAS sebagai parti milik mereka, sebuah gerakan yang mendukung suara, keperluan, dan aspirasi semua golongan. Kepercayaan yang diberikan kepada PAS bukan sekadar berdasarkan ideologi tetapi juga rekod tindakan dan kejayaan sebenar.

Cukuplah dengan beberapa contoh yang dinyatakan sebagai bukti bahawa PAS tidak memerlukan deklarasi untuk dikenali dan dihormati, kerana perjuangannya sendiri telah melangkaui segala batas retorik dan deklarasi.

TS DR MOHD SUFFIAN YUSOFF
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
ADUN Bandar Baharu
Fellow Yayasan Strategik Lestari
Fellow Yayasan Kedah Sejahtera – HARAKAHDAILY 22/11/2024

- Advertisement -
- Advertisement -