Insurans: Terengganu tidak boleh merisikokan pelancong

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Perikanan rekreasi seperti memancing dan mencandat sotong sangat sinonim dengan Terengganu sama ada dengan menyewa bot pelancong atau bot nelayan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, mengikut rekod, kira-kira 740 buah bot nelayan tempatan digunakan untuk membawa penumpang bagi aktiviti perikanan rekreasi.

“Ia merupakan pendapatan tambahan yang lumayan bagi nelayan,” ujarnya pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Beliau berkata, cuma isunya sebelum ini, daripada lebih 740 buah bot, hanya 5 buah bot sahaja mempunyai certificate of competency (CoC) atau Sijil Perakuan Kecekapan yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia bagi membolehkan bot-bot itu membawa pelancong rekreasi laut secara sah.

Tambahnya, perlu dimaklumi bahawa bot nelayan merupakan bot yang dilesenkan dengan Jabatan Perikanan selaras dengan Akta Perikanan 1985 adalah tidak dibenarkan membawa penumpang atau kargo tanpa kelulusan Pengarah Jabatan Laut Malaysia. 

“Kerana itulah, Jabatan Laut telah dilibatkan oleh kerajaan negeri mulai November 2023 dalam usaha membantu pemilik bot nelayan mendapatkan Surat Kebenaran Vesel Penangkapan Ikan Tempatan Membawa Penumpang Bagi Aktiviti Penangkapan Ikan Rekreasi Kelautan (Permit) dari Jabatan Laut,” jelasnya.

Menurut beliau, ada tiga syarat yang perlu dipenuhi pemilik bot iaitu membawa personal locator beacon (PLB), memiliki perakuan kecekapan (CoC) dan perlindungan insurans.

Beliau menambah, hasil dari libat urus antara kerajaan negeri dan Jabatan Laut, maka Jabatan Laut Wilayah Timur telah memberikan keringanan dari syarat membawa PLB dan syarat nakhoda memiliki (CoC) tetapi kekal wajib memiliki insurans bagi melindungi kepentingan pihak ketiga.

Katanya lagi, bot nelayan yang disokong Jabatan Perikanan perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan melepasi pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Laut sebelum pemiliknya mendapatkan perlindungan insurans bot.

Justeru, ujarnya kerajaan negeri telah menggerakkan usaha bersepadu melibatkan Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Pejabat Daerah serta Persatuan Nelayan Kawasan dengan penganjuran kelas untuk nakhoda/tekong sebagai alternatif kepada keperluan CoC disusuli pemeriksaan bot serentak oleh Jabatan Laut di pengkalan bot pada 15 hingga 24 April lalu.

“Tetapi fenomena yang berlaku agak merisaukan. Ruang yang dibuka dan urusan yang dipermudahkan tidak diambil peluang sebaiknya oleh nelayan,” katanya yang juga ADUN Jabi.

Menurutnya, hanya 60 nelayan yang hadir dalam program bersepadu anjuran kerajaan negeri itu.

Tambahnya, lebih merisaukan daripada 60 buah hanya 7 buah bot sahaja yang memenuhi semua syarat dan mendapatkan insurans seterusnya dikeluarkan surat permit kebenaran.

Beliau berkata, nelayan yang turun ke laut sebagai nelayan, mereka dilindungi oleh insurans di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), juga dibantu melalui Tabung Bencana Nelayan jika berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini di laut.

“Tapi insurans nelayan dan Tabung Bencana Nelayan ini tidak akan melindungi penumpang yang turun sebagai pelancong rekreasi. Kerana itulah perlindungan insurans pihak ketiga diperlukan.

“Concern utama ialah keselamatan. Kerajaan negeri tidak boleh merisikokan keselamatan pelancong yang datang ke negeri kita tanpa memastikan bahawa mereka menaiki bot berkeadaan baik yang dilengkapi peralatan keselamatan dan kecemasan, dikemudi oleh tekong yang cekap dan melepasi pemeriksaan kesihatan serta penumpang dilindungi insurans,” ujarnya.

Beliau berkata, nelayan ke laut membawa nyawa sendiri tetapi apabila membawa penumpang bermakna mereka membawa nyawa sendiri dan nyawa orang lain.

Justeru, ujar beliau keperluan permit dan insurans bukan untuk menyusahkan tetapi bagi menjaga kepentingan umum. – HARAKAHDAILY 22/11/2024

- Advertisement -