Perlu strategi tuntas tangani isu ’child-free’

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) menggesa kerajaan menyediakan strategi menyeluruh untuk menangani trend ‘child-free’ dalam kalangan rakyat, memandangkan kos tinggi untuk membesarkan anak.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan fenomena itu sebagai cabaran besar kepada usaha meningkatkan kadar kesuburan negara yang kini menurun daripada 2.1 anak pada 2010 kepada 1.6 pada 2022. 

“Dengan kos membesarkan seorang anak hingga tamat universiti mencecah RM393,000 hingga RM1.37 juta, apakah langkah kerajaan untuk membantu keluarga yang baru memulakan kehidupan menghadapi cabaran ini?” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan  di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk menangani tekanan kos sara hidup yang membebankan keluarga muda.

Zulkifli berharap kerajaan memperkenalkan insentif kewangan yang lebih spesifik serta program sokongan bagi meningkatkan kesediaan rakyat untuk memiliki anak.

 Isu itu, tegasnya, bukan sahaja memberi kesan kepada institusi keluarga, malah terhadap masa depan demografi negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad

dalam jawapannya memberitahu, kerajaan memandang serius isu penurunan kadar kesuburan dan mengambil langkah segera untuk menangani trend ‘child-free’ melalui persekitaran kondusif bagi pasangan berkahwin.

Menurutnya, inisiatif termasuk peningkatan had pengecualian cukai ke atas elaun penjagaan anak dan pembinaan tabika serta taska baharu diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Langkah itu katanya bertujuan mendorong pasangan memilih untuk memiliki anak sambil mengurangkan tekanan kos sara hidup dan menggalakkan wanita kembali bekerja.

Zulkifli dalam soalan asalnya meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan apakah program serta libat urus yang telah dilaksanakan antara KPWKM dengan Kerajaan-kerajaan negeri di seluruh negara serta pencapaian setakat ini. – HARAKAHDAILY 21/11/2024

- Advertisement -