
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin bersetuju dengan saranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Menurut beliau, salah satu punca utama golongan muda ketika ini terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung adalah bermula dengan penggunaan vape.
“Jika kita lihat sekarang, trend penggunaan rokok elektronik ini semakin membarah terutamanya dalam kalangan anak remaja kita. Ada yang sejak sekolah rendah lagi sudah mula berjinak-jinak dengan dunia rokok elektronik ini.
“Jika dahulu hanya dikenali sebagai ‘vape’ sahaja, kini pelbagai jenis rokok elektronik sudah muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan seperti Cigalike, Vape Pen, Pod Vape, Mod Vape, Disposable Vape dan sebagainya.
“Terbaru, ada juga rokok elektronik yang menyerupai sebatang marker pen dan ini amat merisaukan. Lebih merisaukan apabila rokok elektronik ini juga mudah dibeli atau diakses oleh sesiapa sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Tambah Hanif, tanggapan bahawa rokok elektronik adalah alternatif kepada golongan yang mahu berhenti merokok adalah salah dan tidak betul sama sekali.
Ini kerana menurut beliau, kesan paling teruk dalam kalangan penghisap rokok eletronik ini ialah kerosakan paru-paru yang sangat drastik.
“Satu kes di Amerika Syarikat, seorang remaja berusia 18 tahun disahkan mengalami tanda-tanda kerosakan kekal paru-paru, sama seperti paru-paru seseorang yang berusia 70 tahun!
“Baru-baru ini, negara kita digemparkan kes seorang murid Tingkatan Dua yang cedera akibat jatuh dari bumbung pejalan kaki disebabkan khayal kerana menghisap vape.
“Realitinya, vape ini bukan alternatif untuk berhenti rokok. Tapi, alternatif untuk berhentikan nyawa sendiri,” tegasnya.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan perlu segera menguatkuasakan undang-undang yang ketat untuk mengawal penggunaan rokok elektronik ini sebelum terlambat.
“Anak remaja sekolah perlu dijauhkan daripada pengaruh buruk ini kerana merekalah generasi pemimpin masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024











