
KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) telah mengusulkan cadangan menaik taraf Jalan Seberang Jerteh, Terengganu hingga ke sempadan Kelantan melalui FT189 Seksyen 17.85 hingga 18.75 yang sering terjejas akibat banjir pada setiap musim tengkujuh.
Beliau berkata, laluan itu dicadangkan untuk dinaik taraf dengan pembinaan longkang ‘u drain’ bersaiz 1,200 milimeter bagi mengatasi masalah limpahan air dan memastikan ia kekal boleh digunakan sebagai laluan alternatif.
“Laluan ini tidak dapat digunakan untuk menghubungkan Jerteh ke Kampung Raja, Besut. Jadi laluan boleh jadi sebagai satu laluan alternatif sekiranya laluan utama FT 003 selalu ditenggelami air semasa musim banjir juga.
“Justeru, projek ini amatlah perlu dilaksanakan segera kerana ia akan memberi impak segera yang amat baik dan positif kepada rakyat serta masyarakat sama ada dari segi ekonomi, politik, sosial dan juga pembangunan masyarakat setempat,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurutnya, cadangan tersebut turut dianggarkan menelan belanja sebanyak lebih RM11 juta merangkumi kerja awalan seperti perundingan, pengambilalihan tanah dan lain-lain kos pembangunan.
Beliau turut menjemput timbalan menteri untuk melawat kawasan itu pada musim tengkujuh agar lebih memahami keperluan mendesak projek ini.
“Kalau putus kasih boleh hubung balik, tapi kalau putus jalan ini, memang tidak ada jalan yang kita nak lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024











