IKS dibantu melalui program usahawan berdikari

Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa memantau bagi melihat perkembangan dan kemajuan bantuan peralatan yang diberi kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

- Advertisement -

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, kerajaan negeri menyediakan geran bagi melaksana program pembangunan usahawan.

Katanya menerusi kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN, pihaknya sering dimaklumkan mengenai perkembangan serta kejayaan usahawan yang menerima bantuan kerajaan negeri.

“Pemantauan dibuat secara berterusan bagi meninjau perkembangan perniagaan penerima bantuan kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nik Baharum Nik Abdullah (PAS-Chempaka) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum itu Nik Baharum meminta kerajaan negeri menyatakan sejauh mana pemantauan dan keberkesanan program bantuan kerajaan yang diberi kepada usahawan IKS.

Md Anizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemahang berkata, kerajaan negeri menawarkan bantuan kepada usahawan IKS antaranya Skim Bantuan di bawah program usahawan berdikari.

Usaha itu katanya bagi membantu usahawan memulakan perniagaan dan meningkatkan potensi usahawan dengan penyaluran peruntukan RM16,000 kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). – HARAKAHDAILY 21/11/2024

- Advertisement -