
KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) menggesa kerajaan meningkatkan ciri keselamatan kad pengenalan serta memperkukuh sistem identiti digital negara.
Beliau menyatakan bahawa pemalsuan kad pengenalan kerap berlaku dan ciri keselamatan pada kad sedia ada dilihat masih lemah.
“Dan satu lagi yang yang saya nak lihat dari segi integrasi dia. Dulu kita dah ada My Digital ID. Jadi pemusatan telah diumumkan oleh kerajaan mengatakan kena ada pemusatan tunggal.
“Jadi macam mana kita nak integrasikan dari segi dia panggil untuk kita kesan ya kita kesan penipuan dan sebagainya dalam digital ID tersebut,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab isu tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, memaklumkan bahawa kad pengenalan baharu dengan ciri keselamatan terkini akan diperkenalkan dalam masa terdekat bagi menggantikan kad lama.
Menurutnya sejak 2022 hingga Oktober 2024, sebanyak 2,103 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan, dengan 519 individu ditahan atas pelbagai kesalahan pemalsuan kad pengenalan. – HARAKAHDAILY 20/11/2024











