SKMM sedia gubal kod piawaian pusat data?

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mendaftarkan kod teknik bertajuk MCMC MTSFB TC G004:2015, Specifications for Green Data Center pada tahun 2015.

- Advertisement -

Menurut Menteri Komunikasi, kod teknik itu telah dibangunkan oleh Malaysian Technical Standards Forum Bhd (MTSFB) iaitu forum industri yang ditetapkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Katanya, kod teknik tersebut menetapkan keperluan-keperluan minimum serta amalan terbaik untuk pusat data yang mampan, termasuklah kecekapan penggunaan tenaga [power usage effectiveness (PUE)].

Tambahnya, proses semakan pertama bagi kod teknik tersebut sedang dijalankan dan dijangka siap dan didaftarkan pada suku pertama 2025.

“Proses semakan ini turut melalui sesi libat urus bersama pihak industri dan agensi yang berkaitan bagi memastikan kod teknik tersebut kekal relevan.

“Kod teknik ini juga bertujuan untuk menjadi panduan untuk semua pihak berkaitan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga serta mengurangkan carbon footprint bagi industri pusat data di Malaysia,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man [PN-Kubang Kerian] di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim dalam soalannya meminta Menteri Komunikasi menyatakan kesediaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menggubal kod piawaian pusat data yang tidak pernah dipinda sejak tahun 2015 agar mencapai kecekapan penggunaan tenaga atau power usage effectiveness (PUE) yang lebih baik.

“Semakan terbaharu kod teknik ini akan menambah baik beberapa keperluan sedia ada berdasarkan standard antarabangsa terbaharu dan memperkenalkan beberapa keperluan baharu yang mengambil kira amalan-amalan terbaik bagi pengoperasian pusat data yang mampan berdasarkan kemajuan teknologi terkini antaranya ialah kemas kini klasifikasi PUE, Suhu Udara Bekalan [Supply Air Temperature (SAT)], Keberkesanan Penggunaan Air [Water Usage Effectiveness (WUE)], Keberkesanan Penggunaan Karbon [Carbon Usage Effectiveness (CUE)] dan kecekapan sistem Bekalan Kuasa Tidak Terganggu [Uninterruptible Power Supply (UPS)],” ujar menteri.

Tambahnya, terdapat juga penambahan klausa penyepaduan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy integration) untuk strategi dan pengesyoran penggunaan, termasuk untuk sistem Photovoltaic (PV). – HARAKAHDAILY 19/11/2024

- Advertisement -