
KUALA LUMPUR: Peruntukan bagi program Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) ini hanya akan dibelanjakan selepas pembekalan selesai dilaksanakan dengan sempurna oleh pihak pembekal, serta semua proses tuntutan selesai di peringkat pembekal dan agensi pembayar, termasuk penghantaran dokumen tuntutan yang lengkap.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, penanaman padi huma di Semenanjung telah pun dilaksanakan secara rintis oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah mulai tahun 2023.
Katanya, LZNK telah mengambil alih seluas kira- kira 12 hektar tanah-tanah sawah terbiar di luar jelapang dan telah menanam sebanyak enam varieti padi huma sebagai percubaan di negeri Kedah dengan purata hasil padi sebanyak empat hingga enam tan metrik perhektar.
“Enam varieti padi huma tersebut adalah Tangkai Langsat, Tok Ya, Jarum Galah, Bario, Padi Perang dan Padi Hitam,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi [PN-Kuala Kedah] di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Fakhruddin dalam soalannya meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan jumlah yang telah dibelanjakan daripada peruntukan RM59.4 juta bagi melaksanakan program Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) bagi tahun 2024; dan hasrat kementerian meluaskan penanaman padi huma di negeri selain Sabah dan Sarawak.
“Berdasarkan kepada hasil yang telah dicatatkan, kerajaan kini sedang dalam usaha untuk meluaskan kawasan penanaman padi bukit tersebut secara rintis melibatkan kawasan tanaman padi yang lain di Semenanjung.
“Perkara ini juga akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengenal pasti kesesuaian keadaan tanah dan varieti padi untuk ditanam di kawasan Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Ini, katanya merupakan salah satu usaha kementerian bagi berdepan dengan isu perubahan iklim yang tidak menentu. – HARAKAHDAILY 19/11/2024











