Petani masih terperangkap dalam kemiskinan

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) menyuarakan kebimbangan mengenai nasib petani padi yang masih hidup dalam kemiskinan meskipun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggalakkan penanaman padi.

- Advertisement -

Beliau berkata, realiti yang dihadapi oleh petani adalah sukar dengan banyak daripada mereka kini mempertimbangkan untuk meninggalkan penanaman padi dan beralih kepada tanaman lain seperti kelapa sawit.

Menurutnya, peningkatan harga kawalan benih dan skim subsidi harga padi tidak cukup membantu petani menghadapi kos pengeluaran yang semakin meningkat.

“Harga kawalan benih pada 2023 ditetapkan pada RM2.25 sekilogram, tetapi naik kepada RM2.80 sekilogram pada 2024. Dalam tempoh yang sama, skim subsidi harga padi hanya dinaikkan sebanyak 26 sen, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi hanya 50 sen sekilogram, yang dianggap tidak seimbang berbanding kenaikan harga input lain seperti baja dan racun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi penggulungan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Idris turut menyatakan kebimbangan tentang harga benih yang melonjak di pasaran, yang dijual antara RM58 hingga RM60 setiap beg, jauh lebih tinggi daripada harga kawalan yang ditetapkan.

“Petani terpaksa menghasilkan benih mereka sendiri secara haram kerana kualiti benih subsidi yang diperoleh tidak memuaskan.

“Jadi ini satu perkara yang perlu difikirkan untuk kita nak bercakap tentang reformasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Sabu mengakui kekurangan kawasan sawah, di mana lebih 20,000 hektar telah hilang akibat perubahan guna tanah untuk pembangunan.

“Bagan Serai di antaranya tukar tanaman, perumahan dan terbiar kerana generasi muda tidak mahu meneruskan kerja-kerja sawah itu.

“Oleh itu kita membuat tumpuan sekarang untuk memulihkan keadaan itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2024

- Advertisement -