
LAHAD DATU: PASTI adalah medan untuk para pelajar mencungkil bakat masing-masing seawal usia muda, kata Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Jumaidin Lakalla.
Beliau berkata Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM) yang terdiri lima komponen iaitu Celik Al Quran, Celik Sahsiah, Celik Minda, Celik Cerdas dan Celik Membaca adalah direka khas untuk membina jati diri dan mencungkil bakat pelajar PASTI.
“Hari ini alhamdulillah, diadakan salah satu komponen dari SPPM untuk kita mencungkil bakat yang dipanggil sebagai celik cerdas.
“Celik cergas ini maksudnya adalah aktiviti-aktiviti yang berada di luar daripada kawasan sekolah, dipanggil sebagai celik cergas, seperti sukaneka, bola sepak, bola jaring dan sebagainya yang menjadi salah satu komponen dalam SPPM,” ujar beliau.
Beliau menyatakan demikian sewaktu merasmikan Alam Ria PASTI Kawasan Lahad Datu di Dewan MPOB di sini, semalam. Turut hadir sama Ketua Dewan Pemuda PAS Lahad Datu, Landari Labobo,
Katanya, dalam menilai anak, tidak semestinya berdasarkan peperiksaan semata-mata.
“Sebab anak ini ada kemahiran yang tertentu yang dia sendiri kuasai, ada juga yang mungkin dia tidak berapa baik dalam bilik darjah tetapi apabila berada di luar bilik darjah, seperti bola sepak, menghafal, berkhutbah, azan, berpidato di situlah kemahirannya.
“Kita didik daripada kecil untuk belajar dapat nombor satu, nombor dua dan nombor tiga, sehinggakan kita menanggap dengan mendapat nombor itulah yang lebih penting dalam persekolahan, sehingga kita mengabaikan aspek lain yang boleh mengembangkan lagi potensi pelajar.
“Alhamdulillah kita di PASTI kita tidak menilai pelajar hanya semata-mata melalui peperiksaan sahaja, tetapi juga merangkumi segala aspek yang ada dalam SPPM,” ujarnya.
Sebanyak lapan acara dipertandingkan pada kali ini, melibatkan acara hafazan, khutbah, azan, hafalan hadis, pidato, sajak, bercerita dan nasyid.
PASTI An Najah muncul johan keseluruhan Alam Ria PASTI kali ini. – HARAKAHDAILY 11/11/2024











