Sanusi pelawa ke Kedah sempena TMK 2025

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) serta berbesar hati kerana terpilih sebagai tuan rumah Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah dan bola jaring bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) peringkat Malaysia, tahun ini.

- Advertisement -

Menurutnya, kejohanan kali ini  telah menempa sejarah apabila penyertaan yang teramai sejak ia dianjurkan sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan sebanyak 49 PBT telah menyertai kejohanan bola sepak 9 sebelah dan 31 PBT menyertai kejohanan bola jaring.

“Saya mengharapkan MBAS akan mendapat peluang lagi bagi menganjurkan program seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Demikian ucap beliau sempena Majlis Makan Malam dan Penutup Kejohanan Sukan Persatuan PBT Malaysia (MALA), Bola Sepak dan Bola Jaring, yang diadakan di Dewan As-Sakinah, Menara MBAS, malam tadi. Turut hadir, Datuk Bandaraya Alor Setar, Dato’ Mohd Yusri Md Daud.

Katanya lagi, peluang seumpama itu bukan sahaja dapat memperkenalkan Kedah kepada orang luar sebaliknya kehadiran para atlet dari seluruh Malaysia itu sedikit sebanyak dapat membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Sekali gus ujarnya memeriahkan lagi program ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’.

“Saya juga ingin mengajak hadirin sekalian untuk mai (datang) lagi ke bumi Jelapang Padi ini pada tahun hadapan bersempena dengan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan agar MALA terus aktif membantu semua PBT sama ada dari aspek sukan, inovasi, perhubungan antarabangsa dan sebagainya selain menyelesaikan masalah berkaitan isu-isu berbangkit.

“MALA juga sebuah persatuan yang kuat dan kukuh serta dilihat mampu membawa PBT di Malaysia setanding dengan negara lain,” tegas beliau lagi.

Sementara, sempena majlis berkenaan, beliau turut melancar buku yang diberi nama ‘Alor Setar’, di mana di dalamnya terdapat info berkenaan tempat-tempat menarik dan bersejarah di Alor Setar. – HARAKAHDAILY 10/11/2024

- Advertisement -