
KOTA BHARU: Rakyat pelbagai kaum di negeri ini perlu mengekalkan rekod keharmonian pelbagai kaum yang terkenal sebagai model perpaduan antara kaum di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, untuk mengekalkan jolokan istimewa itu, semua bangsa di negeri ini perlu mempromosikan keistimewaannya di luar Kelantan.
Katanya, budaya masyarakat Kelantan yang dipelopori oleh empat bangsa, Melayu, Cina, Siam dan India sewajarnya dipromosikan di luar melalui pelbagai kaedah, terutama platform media sosial.
“Tiktoker berbangsa Cina, Mek Yun atau nama penuhnya Wee Yun Nee cukup terkenal oleh masyarakat di negara ini sebagai selebriti dari Kelantan yang mempromosikan keistimewaan masyarakat pelbagai kaum di Kelantan.
“Perkembangan ini amat menarik dan kerajaan negeri begitu berbangga sekali. Kerana itu kita dari semua bangsa di Kelantan ini perlu mempromosikan sesuatu menarik yang ada di Kelantan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Jalinan Budaya Kota Bharu 2024 yang diadakan di Dataran Cheng Ho malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim, ADUN Bunut Payong Shaari Mat Yaman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Datuk Anis Husin.
Pelbagai acara menarik dipersembahkan pada program berkenaan, iaitu persembahan budaya, gendang, nyanyian empat bangsa termasuk dikir barat, lagu puisi dan tarian singa.
Persembahan gendang cina 24 musim, silambam oleh masyarakat India antara yang berjaya menarik perhatian ramai malam tadi.
Menurutnya, bukan itu sahaja masyarakat pelbagai kaum di Kelantan perlu menceritakan keadaan sebenar kehidupan di negeri ini yang kaya dengan adab dan perpaduan antara kaum.
Jelasnya, memandangkan mereka hidup aman bersama pelbagai masyarakat, Kelantan tidak pernah mempunyai rekod buruk berkaitan pergaduhan antara kaum.
“Kita berdoa semoga keamanan dan perpaduan antara kaum di Kelantan wujud sampai bila-bila,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/11/2024











