
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sentiasa melaksanakan senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sedia ada di seluruh negara melalui peruntukan tahunan yang diterima.
Menteri Pertahanan berkata, empat agensi pelaksana telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan senggaraan tersebut iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kerja Raya Sabah, Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP), Markas Angkatan Tentera Malaysia.
Menurutnya, Kementerian Pertahanan telah diperuntukkan sebanyak RM400 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan RKAT dan peruntukan tersebut telah diagihkan kepada kesemua cabang perkhidmatan mengikut keperluan dan keutamaan.
Pada tahun ini, jelasnya sebanyak 176 kem melibatkan 8,738 unit RKAT untuk disenggara secara keseluruhannya.
Tambahnya, status sehingga kini, sebanyak 40 buah kem yang sedang dalam naik taraf RKAT dan 136 kem yang telah siap RKAT yang dijangka kesemua akan selesai pada 31 Disember 2024.
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepasa soalan Dato’ Khlir Mohd Nor [PN-Ketereh] di Dewan Rakyat semalam.
Khlir meminta Menteri Pertahanan menyatakan status kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) termasuk penyelenggaraan infrastruktur di kawasan (RKAT) setelah mendapat peruntukan sebanyak RM400 juta semasa Belanjawan 2024. – HARAKAHDAILY 5/11/2024











