
KUALA LUMPUR: Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mencadangkan supaya kerajaan tidak menarik subsidi pendidikan kepada golongan kaya, sebaliknya menyediakan kemudahan agar mereka boleh menyumbang melalui sistem wakaf pendidikan.
Menurutnya, sistem wakaf itu memberi peluang kepada semua untuk menyumbang, seperti contoh wakaf ladang kelapa di Indonesia yang digunakan untuk membiayai pusat pengajian tanpa mengira kaum.
Langkah itu jelasnya adalah untuk memastikan keseimbangan dalam masyarakat dan mengelakkan jurang antara golongan kaya dan miskin.
“Sahabat saya (Ahli Parlimen) Jelutong yang baru masuk tak sat ni pun ada sebut tentang wakaf pendidikan Hindu. Saya setuju. Walaupun saya jarang setuju dengan dia. Jadi jangan bangun tanya.
“Maka wakaf pendidikan itu dia membuka ruang untuk semua orang menyumbang. Dan bila nak menyumbang sudah tentulah dia akan memerlukan kepada harta.
“Kalau orang itu asyik ditarik, subsidi tarik, subsidi, lama-lama yang kaya pun jatuh miskin Ini yang saya rasa tidak, tidak seimbang,” ujar beliau.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu menegaskan bahawa ilmu dan pendidikan bukanlah satu perniagaan dan tidak boleh dijadikan bidang untuk mengaut keuntungan.
Jelasnya, perkara itu telah berlaku dalam sektor kesihatan, di mana golongan berduit boleh mendapatkan makanan sihat, ubat berkualiti, dan layanan yang baik, manakala golongan miskin terpaksa bergantung kepada hospital kerajaan yang serba kekurangan.
Terangnya, doktor berusaha sehabis baik, tetapi disebabkan jumlah pesakit terlalu ramai dan kemudahan tidak mencukupi, wujudlah kasta dalam layanan kesihatan, sedangkan kesihatan rakyat sepatutnya diberi layanan sama rata tanpa mengira kaya atau miskin.
“Saya kurang bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menarik semula subsidi kepada golongan yang disebut kaya ataupun maha kaya.
“Saya tidak bersetuju istilah maha kaya itu saya sebut golongan kaya. Subsidi pendidikan. Mereka juga berhak mendapat ilmu dan mendapat suasana pembelajaran yang selesa tanpa melihat siapa ibu bapa, (dan) berapa kadar kemampuan kewangan ibu bapa,” ulasnya.
Beliau memberikan contoh perbezaan kelas dalam penerbangan, di mana bayaran lebih membolehkan penumpang menikmati kemudahan business class atau first class yang lebih selesa.
Sementara itu katanya, penumpang kelas ekonomi membayar harga biasa dan menerima layanan yang sesuai.
“Apakah nanti kalau kita tarik semula subsidi pendidikan tinggi daripada golongan yang kaya ini, adakah nanti akan wujud di sekolah di pusat pengajian perbezaan kelas yang begitu?
“Mungkin waris-waris yang membayar mahal akan mempertikai kenapa nak dia begini tak selesa kenapa orang yang bayar yuran murah pula akan pertikai nanti dalam kalangan pelajar pula akan akan ada jurang.
“‘Oh hang tak apalah hang anak orang kaya aku anak orang miskin hang tak apa bapa hang bayar gaji yuran mahal aku bayar yuran tak boleh bayar yuran’.
“Perkara-perkara ini kita tak mahu lihat berlaku di sekolah-sekolah di IPT di pusat pengajian,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2024











