Sokongan rakyat kepada PAS di Kelantan tidak pudar

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Penyebaran ilmu agama dan pengetahuan politik kepada rakyat menjadi teras utama kekuatan PAS di Kelantan sehingga dapat bertahan memerintah negeri tersebut melewati 34 tahun.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, biarpun diberi tekanan dan cabaran akibat aliran politik berbeza antara negeri dan persekutuan sokongan rakyat kepada PAS tidak pernah pudar.

Katanya pemerintahan PAS di Kelantan dua fasa iaitu pertama bermula 1959 sehingga 1978 dan kedua bermula 1990 sehingga sekarang di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI).

“Teras kekuatan yang dapat saya lihat di sini ialah kerana di Kelantan masyarakatnya ditegakkan di atas ilmu, mereka sokong PAS atas dasar ilmu pengetahuan bukan atas semangat semata-mata.

“Kalau nak fikirkan dari segi kebendaan projek macam-macam dicurahkan tetapi masih lagi rakyat Kelantan memberi sokongan kepada PAS untuk mentadbir negeri,” katanya  selepas menyampaikan Taujihat Tarbawi sempena Ijtimak Tarbawi 10 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini hari ini.

Kerajaan negeri merai sambutan ulangtahun ke-34 dasar MBI dengan pelbagai aktiviti keilmuan termasuk kuliah khas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al Bakri di Medan Ilmu semalam.

Minggu lalu pada lokasi sama, kuliah pagi Jumaat disampaikan pendakwah terkenal dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus yang disiarkan secara langsung melalui laman Kelantan TV.

Ribuan pemuda PAS dari seluruh negara berhimpun di PUTIK Pengkalan Chepa sejak petang semalam bagi mengikuti Ijtimak Tarbawi 10. – HARAKAHDAILY 2/11/2024

- Advertisement -