Rai Hari Deepavali bukti Islam pentingkan silaturahim

Dr Halimah bersama Ustaz Najhan dan isteri bersama penduduk kaum India
- Advertisement -

KAPAR: Kehadiran Ahli Parlimen Kapar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa ke atas penduduk beragama Hindu yang menyambut Hari Deepavali membuktikan Islam menganjurkan silaturahim antara satu sama lain.

- Advertisement -

PAS Selangor berkongsi kunjungan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali dan ADUN Sementa, Ustaz Mohamad Najhan Salleh ke rumah seorang penduduk daripada rakan mereka yang berbangsa India, menerusi hantaran di Facebook rasmi, semalam.

“Kunjungan daripada kedua-dua tokoh ini adalah untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Deepavali dengan penuh ceria,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut PAS Selangor, ziarah sebegini menunjukkan bahawa pentingnya hubungan antara kaum dalam masyarakat di negeri Selangor.

Tambah kenyataan tersebut, Islam menganjurkan kepada semua manusia untuk saling berkenalan, saling memahami serta bermanfaat antara satu sama lain.

“Tambahan pula, Islam haramkan untuk berlaku zalim kepada sesiapa sahaja termasuk kepada mereka yang bukan Islam. Inilah keindahan Islam dan dasar perjuangan PAS dalam kerangka demokrasi di tanah air kita, Malaysia.

“Naratif beracun Islamofobia selama ini hanyalah bisikan-bisikan halus propaganda Barat yang tidak mahu keadilan Islam berdaulat dan dibuktikan termasuk kepada kaum bukan Islam di pentas demokrasi dunia hari ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, PAS Selangor menyatakan rakyat negeri Selangor saling menyokong dan menghormati antara satu sama lain tanpa mengira agama dan kaum.

“Mari kita teruskan semangat perpaduan ini dengan nilai patriotik dan bertanggungjawab. Semoga negeri Selangor terus makmur dengan rakyatnya yang unik dan pelbagai,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2024

- Advertisement -