SAR, Maktab Mahmud terima set Smart TV, projektor

- Advertisement -

PADANG SERAI: Sebanyak 31 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini menerima Smart TV dan Projektor untuk tahun 2024, sempena  program Pendigitalan Sekolah Agama Rakyat Kedah dan Lestari Digital Didik Kedah di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, hari ini.

- Advertisement -

Alatan itu sejajar dengan penggunaan alat bantu mengajar yang kini lebih memberi fokus melalui platform e-learning, menggunakan aplikasi pendidikan yang dapat memudahkan murid-murid memahami dan menguasai ilmu dengan lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, melalui pendigitalan, bukan sahaja dapat mempercepatkan proses pembelajaran, tetapi juga memastikan kandungan pendidikan lebih interaktif dan menarik.

“Seiring perkembangan teknologi, adalah amat penting bagi kita untuk memastikan sekolah-sekolah agama turut maju ke hadapan. Pendigitalan juga membuka peluang pelajar mengakses bahan-bahan pendidikan dari pelbagai sumber, tanpa had waktu dan tempat.

“Ini akan meningkatkan kecekapan pembelajaran dan membolehkan pelajar mendalami ilmu agama dengan lebih mendalam dan komprehensif,” kata beliau.

Dato’ Azam yang hadir merasmikan majlis itu menggantikan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak lupa merakam penghargaan kepada pihak Hal Ehwal Sekolah Agama Rakyat Kedah (HESA) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah

Kata ADUN Sungai Limau itu lagi, penggunaan Smart TV dalam pendidikan juga merupakan satu inovasi yang amat bermanfaat di mana ia mampu menyediakan paparan visual jelas serta sesuai digunakan di bilik darjah.

“Penggunaan video dalam pembelajaran, simulasi interaktif, dan bahan-bahan multimedia yang lain, sememangnya dapat membantu murid-murid memahami konsep-konsep yang sukar dengan lebih mudah dan efektif.

“Tambahan pula, Smart TV dilengkapi dengan akses kepada internet, yang membolehkan para guru mencari dan menunjukkan sumber pendidikan secara langsung semasa sesi pengajaran.

“Ia menjadikan proses pembelajaran lebih dinamik dan menyeronokkan,” kata beliau yang juga merupakan guru di sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Kedah, sebelum ini.

Sementara beliau juga mengharapkan dengan sumbangan itu, semua pihak akan dapat menjaganya dengan baik dan mengambil manfaat daripada inisiatif itu bersama-sama.

“Kita melangkah ke hadapan dalam memperkasa sistem pendidikan khususnya bagi pencapai The Greater Kedah,” katanya lagi.

Pemberian Smart TV dan Projektor LCD ini melibatkan 94 SAR dan 13 sekolah di bawah Lembaga Maktab Mahmud, seluruh Kedah akan dilaksanakan melalui tiga fasa sehingga 2026 akan datang.

Dalam pada itu 31 sekolah disasarkan menerimanya pada tahun ini, 31 lagi pada 2025 dan selebihnya pada 2026. – HARAKAHDAILY 29/10/2024

- Advertisement -