Belanjawan 2025 tak tangani banyak isu negara dan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat tidak mengemukakan usaha dan peruntukan yang mencukupi serta sewajarnya menerusi Belanjawan 2025, iaitu bagi menangani masalah-masalah ekonomi negara dan rakyat secara menyeluruh termasuk hutang.

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, menurut data yang tersedia, hutang negara telah mencecah RM1.22 trilion setakat akhir April 2024, dua berbanding RM1.17 trilion setakat akhir tahun 2023 di mana menunjukkan peningkatan hutang.

Liabiliti Persekutuan pada akhir tahun 2023 pula ujar beliau, menunjukkan peningkatan dengan nisbah liabiliti Persekutuan kepada KDNK pada kadar 81.8 peratus berbanding 78 peratus pada tahun 2022.

“Walaupun terdapat pelan untuk mengurangkan defisit fiskal, Belanjawan ini tidak memberikan penyelesaian konkrit untuk menstabilkan hutang dan mengurangkan liabiliti luar jangka kerajaan.

“Tambahan pula kelemahan dalam pengurusan hutang luar negara terus menimbulkan kebimbangan tindakan kerajaan meneruskan projek-projek mega yang melibatkan kos besar tanpa memastikan pulangan yang sewajarnya, hanya menambah beban hutang.

“Seharusnya perancangan lebih jelas dan berdisiplin, namun Belanjawan 2025 kurang menekankan aspek ini,” ujar beliau mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ahmad Tarmizi turut membangkitkan masalah kemiskinan yang belum selesai walaupun Belanjawan 2025 ada membentuk dana bagi program bantuan rakyat, namun masalah kemiskinan tetap menjadi isu utama.

Katanya, menurut data yang telah dikeluarkan oleh UNICEF dari 14 Oktober 2023 hingga 16 November 2023, kemiskinan kekal tinggi pada 41 peratus, selain dibahaskan fakta pada Oktober 2023 yang mencatat penurunan berbanding awal 2021.

Namun fakta tersebut jelasnya, menunjukkan masih ramai rakyat yang hidup di bawah garis kemiskinan di mana lebih daripada 600,000 isi rumah terus bergelut dengan masalah pendapatan tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup semakin meningkat.

“Salah satu kelemahan belanja ini ialah kurangnya program pembasmian kemiskinan yang bersifat jangka panjang. Sebagai contoh program bantuan tunai seperti Bantuan Rahmah walaupun bermanfaat dalam jangkaan pendek.

“Namun ia tidak mencukupi untuk membantu golongan miskin keluar daripada kitaran kemiskinan secara mampan. Perlu ada lebih banyak inisiatif untuk meningkatkan peluang pekerjaan berkualiti, pendidikan dan pembangunan keusahawanan.

“Terutamanya bagi golongan B40. Yang ketiga, isu bencana alam dan pengurusan banjir setiap tahun Malaysia dengan masalah banjir yang semakin buruk akibat perubahan iklim. Namun Belanjawan 2025 memperuntukkan hanya RM600 juta kepada NADMA.

“(Ia) bagi tujuan pengurusan bencana alam yang mana ia dianggap tidak mencukupi untuk menangani skala kerosakan akibat banjir dan bencana alam lain seperti tanah runtuh,” ujarnya membanding kerugian pada 2023 sebanyak RM750 juta.

Tambah beliau, banjir ketika tahun itu memberi kesan buruk kepada lebih 300,000 rakyat tetapi Belanjawan 2025 juga tidak memberikan perincian yang mencukupi mengenai Pelan Mitigasi Jangka Panjang bagi menangani bencana alam.

Katanya, banyak projek tebatan banjir dan pembangunan infrastruktur yang telah diumumkan sebelum ini masih tertangguh dan tiada perancangan konkrit dipaparkan untuk mempercepatkan projek-projek ini.

Turut dibahasnya adalah isu keterjaminan makanan khususnya krisis bekalan beras yang melanda negara tidak dapat diatasi dengan hanya beberapa langkah-langkah bersifat jangka pendek, sedangkan krisis terus berlanjutan.

Menurut beliau, sejak tahun 2023 hingga kini harga beras meningkat mendadak hingga lebih 30 peratus menyebabkan rakyat terpaksa membayar hutang lebih tinggi untuk bahan makanan asas ini.

“Walaupun kerajaan mengumumkan langkah untuk menambah stok simpanan beras dan menyalurkan subsidi kepada petani, ini dilihat kurang menyeluruh dan tidak cukup untuk menstabilkan keadaan dan bekalan makanan pada jangka masa yang panjang,” ujarnya.

Malaysia akan ketinggalan?

Belanjawan 2025 juga disifatkannya kurangnya memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor inovasi dan teknologi meskipun terdapat peningkatan dalam peruntukan untuk pelan digitalisasi namun tidak memperlihatkan usaha yang mencukupi.

Terutama katanya, untuk mendorong inovasi dalam sektor dan ekonomi digital dalam ekonomi global yang semakin bergantung kepada teknologi di mana Malaysia perlu mempercepatkan peralihan ke arah industri teknologi tinggi.

“Tetapi Belanjawan ini tidak menekankan aspek ini dengan jelas. Sebagai contoh peruntukan untuk pendidikan dan pembangunan R&D dalam sektor teknologi seperti kecerdasan buatan, automasi dan teknologi hijau masih berada pada tahap yang rendah.

“Ini bermakna Malaysia akan terus ketinggalan, di belakang negara-negara serantau seperti Singapura dan Korea Selatan yang telah melabur secara dalam sektor teknologi masa depan,” ujarnya.

Ahmad Tarmizi dalam perbahasan tersebut turut mengemukakan kejayaan Kedah menarik pelaburan besar sejak beberapa tahun belakang ini termasuk RM68.3 bilion pada tahun 2021 dan RM13.1 bilion (2022) serta RM28.7 bilion (2023).

Namun katanya, ketiadaan pelabuhan dan lapangan terbang kargo di negeri itu menyebabkan hasil produk dihasilkan dikira sebagai KDNK negeri lain yang memiliki infrastruktur tersebut.

Jelas beliau, ia mengakibatkan Kedah kehilangan pengiktirafan ekonomi dan peruntukan cukai yang sepatutnya walaupun produktivitinya tinggi di mana hal ini menunjukkan ketidakadilan dalam pengagihan KDNK negara.

Terangnya lagi, keadaan tersebut lebih menguntungkan negeri-negeri yang sudah maju dengan kemudahan logistik yang lengkap, sehubungan dengan itu Kerajaan Persekutuan perlu mengutamakan pembangunan pelabuhan dan lapangan terbang kargo di Kedah.

“Untuk mengatasi ketidakseimbangan ini agar ekonomi negeri dapat berkembang secara mampan. Alternatifnya perlu diwujudkan mekanisme pembahagian hasil cukai yang ada kepada berdasarkan lokasi pengeluaran produk.

“(Ini) bagi mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada negeri-negeri pengeluar seperti Kedah. Langkah ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada ekonomi Kedah dan kesejahteraan rakyatnya tetapi juga mengimbangkan pembangunan antara negeri-negeri dalam Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut mengambil kesempatan itu menggesa agar Kerajaan Pusat segera meluluskan status pertukaran daripada pengambilan tanah kepada urusan jual beli bagi projek Kedah Aerotropolis KXP.

Tegas beliau, ia sangat penting merealisasikan potensi besar projek ini dalam bidang aeronatik negara dengan mengemukakan contoh terbaik yang boleh dijadikan inspirasi dari seorang usahawan besar Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim.

Katanya, anak jati Kedah itu telah berjaya mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa melalui kepakaran dalam industri helikopter dan pengurusan aeronatik sebagai Pengarah Urusan Westa Group.

Kata Tarmizi, projek KXP bukan sahaja berpotensi melahirkan lebih ramai pakar dalam industri penerbangan negara, tapi juga menjadi plat bagi pembangunan ekonomi berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi.

“Selain itu saya juga berharap agar permohonan pampasan RM200 juta setahun untuk menampung kehilangan pendapatan akibat pengekalan tanah sawah dan bangunan kampung tersusun di negeri Kedah dimasukkan dalam belanjawan pada masa depan.

“Kedah terpaksa melepaskan peluang pembangunan bernilai RM200 ratus juta dalam cukai tanah demi menjamin keselamatan makanan negara meskipun permintaan untuk pembangunan perumahan industri dan komersial terus meningkat.

“Kerajaan sepatutnya mempertimbangkan pampasan ini sebagai penghargaan atas pengorbanan Kedah dalam mengekalkan tanah pertanian tanah sawah yang telah membekalkan lebih 43 peratus keperluan beras negara,” hujahnya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024

- Advertisement -
- Advertisement -