Perlis catat kualiti udara terbaik, sungai bersih

- Advertisement -

KANGAR: Perlis mencatatkan kualiti udara terbaik di Malaysia bagi tahun 2023, demikian beritahu Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli melalui Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri, Megat Hassirat Hassan.

- Advertisement -

Ucapan beliau tersebut disampaikan sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perlis yang diadakan di Ocean Glow, di sini hari ini.

Menurut Mohd Shukri, Perlis bukan sahaja merekodkan bilangan hari ‘bersih’ tertinggi dari segi Indeks Pencemaran Udara (IPU), tetapi juga menunjukkan kualiti air sungai yang sangat baik.

“Sebanyak 14 stesen pengawasan kualiti air yang dilaporkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di negeri ini berada pada kelas pertama dan kedua, yang diklasifikasikan sebagai bersih.

“Hanya satu stesen sahaja yang merekodkan kualiti air pada Kelas Ketiga atau sederhana tercemar, sementara tiada sungai di Perlis yang direkodkan dalam kategori Sungai Tercemar (Kelas Empat dan Lima),” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kempen kesedaran alam sekitar dalam mendepani isu pencemaran yang semakin meruncing.

“Kempen kesedaran alam sekitar adalah salah satu agenda dalam menghadapi isu pencemaran alam sekitar yang kian membimbangkan kita sejak kebelakangan ini.

“Kerap kali masalah pencemaran ini dibangkitkan di media massa dan media sosial, memberi impak besar kepada masyarakat,” ujar beliau.

Mohd Shukri juga berharap agar insiden pencemaran seperti pelupusan haram bahan kimia di Sungai Kim-Kim, Johor dan krisis bekalan air di Selangor tidak berulang di Perlis.

“Pencemaran alam sekitar bukan sahaja merosakkan sumber alam, tetapi juga membawa kesan negatif terhadap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat,” tambah beliau.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Rus’sele Eizan dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Muhammad Azmir Azizan serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna Negeri, Razali Saad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, Jamal Affendy Shahar juga turut hadir. – HARAKAHDAILY 29/10/2024

- Advertisement -