Karnival MTT: Pelajar tahfiz minat sains, dedah potensi OKU

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) di Tok Jiring telah menganjurkan Hari Kokurikulum dan Karnival Sains yang bertujuan menarik minat pelajar tahfiz terhadap bidang sains.

- Advertisement -

Ketua Sektor Akademik MTT, Nor Effendi Mahyiddin berkata, program itu diadakan dengan kerjasama Pusat Sains Negara Terengganu (PSNT) dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).

Beliau berkata, kolaborasi itu merupakan langkah pertama pihaknya untuk menyediakan pengalaman pendidikan yang lebih luas kepada pelajar tahfiz.

“Sokongan daripada PSNT dan JPINT yang menyediakan pelbagai peralatan saintifik memberi peluang kepada pelajar untuk memahami ilmu sains dengan lebih mendalam, malah turut menampilkan elemen teknologi moden seperti penggunaan laser.

“Ini kali pertama program seperti ini dianjurkan dan ia membuka ruang untuk pelajar kami meneroka dunia sains dengan lebih menarik,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain pameran sains, pelbagai gerai jualan dari pihak sekolah turut disediakan untuk memupuk minat pelajar dalam dunia perniagaan.

Katanya, terdapat juga gerai daripada institusi pendidikan seperti TATI dan Pusat Darul Quran Terengganu yang memberi maklumat lanjut mengenai peluang sambungan pendidikan untuk pelajar lepasan SPM.

Menurut beliau, antara aktiviti menarik lain yang disediakan termasuk permainan kereta lumba menggunakan belon dan cahaya matahari, serta pencerapan matahari yang dikelolakan oleh Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Sementara itu, kata Effendi, pihak sekolah komited dalam membimbing pelajar tahfiz Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan yang kini seramai tujuh orang untuk mendalami pengajian Al-Quran di MTT.

“Di sekolah ini, kita ada hafazan tahfiz orang buta kalau yang berminat boleh daftar, setakat ini tujuh orang.

“Tahfiz biasa kita mengikuti kokurikulum kebangsaan, kita ambil SPM dan STAM, yang ni (OKU penglihatan) lebih kepada kemahiran tahfiz,” katanya.

Di samping itu, kata beliau, Klinik Al-Fatihah turut disediakan bagi masyarakat yang ingin memperbetulkan bacaan Al-Fatihah secara percuma.

Beliau berharap program itu dapat diteruskan setiap tahun untuk memberi peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz mengenali sains dan membuka ruang kepada sekolah-sekolah sekitar untuk turut serta.

Dedah potensi OKU penglihatan

Program ini turut menampilkan Markaz Tahfiz Orang Kelainan Upaya Masalah Penglihatan (MTOKUMP-MTT), yang bertujuan memperkasa individu yang menghadapi masalah penglihatan untuk menjadi anggota masyarakat yang berbakti.

Menurut guru yang juga memiliki kurang upaya penglihatan, Mohammad Ifram Abdul Rahman, tujuan utama menyertai program ini adalah untuk menonjolkan kebolehan pelajar OKU penglihatan.

“Kami mahu masyarakat tahu bahawa mereka yang mempunyai masalah penglihatan juga mampu berbakti dan menjalankan tanggungjawab dalam masyarakat,” katanya.

Tambahnya lagi, di MTT, pelajar OKU penglihatan didedahkan dengan kelas yang membolehkan mereka memahami dan membaca al-Quran dengan baik.

Menurut Ifram, matlamat utama pusat itu adalah untuk melahirkan hafiz al-Quran dalam kalangan pelajar yang buta.

“Setelah menghafaz al-Quran, pelajar-pelajar ini akan ditempatkan di masjid atau pusat komuniti supaya mereka dapat berinteraksi dengan masyarakat, sekali gus mengubah persepsi masyarakat tentang kemampuan golongan ini,” katanya.

Untuk rekod, MTOKUMP-MTT kini menempatkan tujuh pelajar sepenuh masa, berusia antara 18 hingga 23 tahun.

“Mereka mengikuti sesi pembelajaran dari pagi hingga petang yang merangkumi pembelajaran sistem braille dan penghafalan al-Quran dari juzuk pertama hingga ke-30,” katanya.

Kata beliau, pelajar-pelajar di situ juga memiliki sijil kemahiran dalam bidang refleksologi, hasil latihan di Kolej Vokasional Indahpura, Johor, tiga tahun lalu.

“Kemahiran ini tidak disia-siakan, mereka menjalankan perkhidmatan mengurut secara berkala, sambil terus menghafal al-Quran.

“Perkhidmatan ini diharapkan dapat memperkukuhkan kebolehan mereka berinteraksi dengan masyarakat dan menjadikan mereka lebih berdikari,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bakal melancarkan sebuah pusat mengurut pada bulan November akan datang, yang dibuka setiap Jumaat dan Sabtu.

“Tujuannya adalah untuk menggalakkan mereka berdikari dalam pengurusan diri, selain terus belajar dan berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran dalam mempelajari sistem Braille, beliau berkata bahawa ia tidak sukar jika ada minat dan kesungguhan.

“Saya sendiri mengambil masa empat hari untuk memahami Braille dan hanya sekitar sebulan untuk membaca dengan lancar,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024

- Advertisement -