
PADANG BESAR: Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Beseri telah menganjurkan jualan sejahtera sempena sambutan Hari Deepavali di PKWR tersebut, di sini hari ini.
Jualan tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat, dengan 1,000 ekor ayam berjaya dijual.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun berkata, inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban penduduk, terutama dalam menyambut perayaan.
“Alhamdulillah, kita dapat respon yang baik dari penduduk tempatan. Sebelum pukul 9:00 pagi, orang sudah beratur,” katanya kepada Harakahdaily.
Jualan kali ini adalah kesinambungan daripada jualan pertama yang diadakan pada 20 Oktober lalu, di mana juga menunjukkan kejayaan dengan jualan sebanyak 600 ekor ayam.
Untuk memudahkan penduduk, jualan ayam ini menawarkan tiga kategori harga iaitu dua ekor ayam pada harga RM10, seekor ayam pada harga RM10 dan sekilo ayam pada harga RM8.50.
Selain itu, Haziq turut menyampaikan sumbangan kepada 25 keluarga beragama Hindu di DUN tersebut.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, tetapi juga memperkukuhkan semangat perpaduan dalam masyarakat,” tambahnya.
Dengan penganjuran seumpama itu, pihaknya berharap hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di DUN tersebut dapat diperkukuhkan, seterusnya mencipta suasana yang harmoni dan saling menghormati. – HARAKAHDAILY 29/10/2024












