
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menyatakan langkah-langkah yang telah diambil bagi mengatasi persepsi seolah-olah negara ini cenderung kepada negara-negara blok perdagangan tertentu.
Dato’ Wira Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata, ini setelah Malaysia memohon dan telah diterima sebagai negara rakan kongsi dalam BRICS.
“BRICS yang ditubuhkan oleh Brazil, China, India dan Rusia pada 2009 dan kemudiannya disertai oleh Afrika Selatan pada tahun 2010.
“Merupakan sebuah blok negara-negara yang nampaknya seolah-olah bertentangan ataupun bersaing dengan G7 yang diketuai oleh negara-negara Barat yang termasuk juga Jepun,” katanya.
Jelasnya blok itu tidak melibatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan sebagainya tidak seperti The Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP).
Menurut beliau, semua sedia maklum bahawa pihak Barat khususnya Amerika Syarikat tidak begitu selesa kehadiran negara Rusia dan China dalam BRICS.
“Situasi ini mungkin akan memberikan kesan negatif kepada hubungan Malaysia dengan negara-negara berkenaan dan juga terhadap pelaburan FDI khususnya dari negara-negara berkenaan.
“Kita sedia maklum Malaysia banyak menerima pelaburan yang besar nilainya daripada Amerika Syarikat, German, Austria, Jepun dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan pada sesi ‘Waktu Pertanyaan Bagi Jawab Lisan’ di Dewan Rakyat hari ini.
Kerana itu beliau meminta kerajaan menyatakan apakah langkah yang diambil bagi mengawal atau mengurus naratif bahawa Malaysia tidak dilihat lebih cenderung kepada sesebuah blok kuasa besar dunia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam jawapannya berkata, walaupun telah menyertai BRICS, negara pada masa yang sama terus mengekalkan hubungan perdagangan terutamanya bersama-sama dengan rakan-rakan dagang tradisional negara.
“Buat masa yang sama dua bulan lepas kita telah mengumumkan yang kita akan mulakan perbincangan bersama-sama dengan Kesatuan Eropah (EU).
“Kita memulakan semula perbincangan mengenai FTA bersama-sama dengan EU yang telah diberhentikan sejak tahun 2012,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia juga bersama Amerika Syarikat dan Eropah yang lain telah menyertai perkumpulan yang dipanggil Indo Pacific Economy Framework (IPEF) yang mirip BRICS.
Selain itu, katanya Malaysia juga menyertai beberapa kerjasama lagi termasuk dari negara-negara Timur Tengah dan juga ASEAN. – HARAKAHDAILY 29/10/2024











