Exco kemuka ehwal pertanian Perlis kepada KPKM

- Advertisement -

KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Razali Saad telah mengutarakan tiga cadangan penting untuk memperkukuhkan sektor pertanian negeri Perlis kepada Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Cadangan itu dibentangkannya semasa Mesyuarat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Exco-Exco Pertanian di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur, pada minggu lalu.

Razali menekankan keperluan untuk memperbaiki dan menaik taraf infrastruktur pertanian terutama di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan kawasan luar MADA bagi mempermudah aktiviti pertanian di negeri Perlis.

“Kita harap, infrastruktur pertanian di negeri Perlis diperkuatkan,” katanya sebagai mengulas lanjut mengenai perkara berkaitan yang dikemukakannya semasa mesyuarat tersebut.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan pihaknya memerlukan anggaran hampir RM50 juta bagi tujuan tersebut.

Peningkatan infrastruktur ini dijangka dapat membantu petani meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil, khususnya tanaman padi dan mangga harum manis.

“Kemudahan yang lebih baik akan meningkatkan pengeluaran (mangga) harum manis dan padi serta memberi manfaat besar kepada sektor pertanian negeri Perlis,” ujarnya.

Selain penambahbaikan infrastruktur, Razali turut menyuarakan cadangan kenaikan harga padi dan beras bagi mengimbangi harga pasaran serta meringankan beban para petani.

Walaupun begitu, beliau mencadangkan agar kenaikan tersebut dikawal bagi memastikan wujud keseimbangan dan kestabilan harga untuk pengguna.

“Peningkatan harga beras perlu untuk mengimbangi harga pasaran semasa, di samping memastikan kestabilan harga bagi pengguna,” tambahnya.

Belanjawan yang dibentangkan pada Jumaat lepas langsung tidak memberi perhatian berkenaan kenaikan harga siling belian padi dari RM1,300 kepada RM1,600.

Kenaikan ini dilihat sebagai langkah penting bagi mengurangkan beban pesawah yang semakin tertekan dengan penurunan harga belian oleh pengilang dari RM1,800 kepada RM1,400 dan dijangka terus menurun hingga paras siling RM1,300.

Perkara ini sekali gus menimbulkan persoalan terhadap masa depan sektor pertanian dan kesejahteraan para petani khasnya di Perlis. – HARAKAHDAILY 28/10/2024

- Advertisement -