Pesakit kanser perlu rawatan komprehensif

Dato' Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hampir 120,000 pesakit kanser di seluruh negara memerlukan rawatan komprehensif walau demikian tidak semua fasiliti kerajaan mempunyai rawatan khusus bagi kanser.

- Advertisement -

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, antara sebab kematian tinggi dalam kalangan penghidap kanser adalah kerana ia dikesan atau diagnosis dan mendapat rawatan akhir sama ada di peringkat tiga atau empat.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyatakan inisiatif pada waktu ini untuk menggalakkan rakyat melakukan saringan kesihatan khusus untuk pengesanan awal kanser di fasiliti kesihatan awam secara berkala walaupun tidak mempunyai sebarang simptom.

“Bagi kes kanser yang dikesan pada tahap akhir biasanya memerlukan rawatan yang kompleks dan pelbagai. Apakah kos rawatan tinggi juga menjadi punca kepada kegagalan proses rawatan yang akhirnya menyebabkan kematian yang tinggi di kalangan pesakit kanser?

“Seterusnya, apakah bentuk sokongan kewangan yang disediakan kerajaan pada waktu ini khususnya kepada pesakit yang bukan kategori penjawat awam dan sejauh mana ia membantu pesakit kanser ini dalam proses menjalani rawatan lanjut?

“Selain itu, sehingga kini sejauh mana kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) diadaptasikan oleh pihak kementerian dalam proses pengesanan awal kanser serta membantu mengurangkan kematian akibat kanser?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan asal, beliau meminta Kementerian Kesihatan menyatakan sejauh mana kekurangan mesin Pencitraan Resonans Magnetik (MRI) dan mesin Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) di fasiliti kesihatan awam memberi kesan terhadap proses untuk pesakit mendapatkan diagnosis awal kanser pada waktu ini.

Timbalan Menterinya, Dato’ Lukanisman Awang Sauni, berkata kerajaan telah menyediakan Skim Tegar B40 di mana skim ini mempromosikan pencegahan dan juga saringan ataupun pengurusan intervensi penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Terdapat saringan yang dilakukan sekiranya pesakit didapati penyakit kanser dan kementerian akan memberi bantuan secara ‘one-off’. Selain itu, kita akan memberikan jawapan secara bertulis yang lebih spesifik kepada Yang Berhormat Kuala Nerus,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2024

- Advertisement -