KIAS sasar 2,000 pelajar capai status universiti penuh

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kolej Universiti Sultan Ismail Petra (KIAS) memerlukan 800 lagi pelajar untuk mencapai sasaran memenuhi syarat mencapai status universiti penuh.

- Advertisement -

Rektor KIAS, Prof Dr Mazlan Ibrahim berkata, KIAS sekarang mempunyai 1,200 pelajar yang belajar di peringkat sijil, diploma dan ijazah.

“KIAS memerlukan sekurang-kurangnya 800 lagi pelajar untuk mencapai 2,000 orang bagi layak memohon taraf universiti penuh.

“Sekarang kita buka peluang kepada pelajar dari semua sekolah di samping pelajar sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi meneruskan pengajian di peringkat diploma dan ijazah di KIAS,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Ramah Mesra bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat semalam. Turut hadir Pengarah YIK, Zulkiflie Ab Rahman.

Seramai 440 peserta yang terdiri daripada pegawai YIK, KIAS, Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) dan Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) menyertai program berkenaan di Dewan Besar YIK, Tunjong.

Dr Mazlan juga berkata, setakat ini hanya 129 pelajar lepasan sekolah YIK yang melanjutkan pengajian di KIAS.

“Saya harap kerjasama semua pengetua dan mudir sekolah YIK memainkan peranan menggalakkan lulusan SPM khususnya melanjut pengajian di KIAS.

“Bagi pelajar yang hendak melanjut pengajian peringkat ijazah ke Universiti Al Azhar, Mesir di tahun tiga boleh belajar terlebih dahulu di KIAS,” katanya.

KIAS dinaiktaraf sebagai kolej universiti pada 23 Mac 2021. KIAS dilahirkan daripada Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah yang diwujudkan pada 1 Jun 1994. – HARAKAHDAILY 24/10/2024

- Advertisement -