
KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Petroleum Negara (MPPN) bertanggungjawab menasihatkan Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Seksyen 5(2) Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144].
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said, MPPN yang pertama telah bersidang pada 9 April 1975 dan dipengerusikan oleh Raja Tan Sri Mohar Raja Badiozaman yang merupakan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri ketika itu.
Tambahnya, pelantikan mana-mana Ahli Majlis dibuat oleh Perdana Menteri atas kapasiti jawatan yang disandang oleh Ahli berkenaan di luar MPPN, melainkan dinyatakan sebaliknya.
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh [PN-Besut]di Dewan Rakyat, semalam.
Che Mohamad Zulkifly dalam soalannya meminta Perdana Menterimenyatakan pendirian terkini kerajaan terhadap penubuhan Majlis Penasihat Petroleum Negara (MPPN) yang sepatutnya ditubuhkan di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 dengan keanggotaan, antaranya daripada negeri-negeri yang berkaitan dan jelaskan justifikasi terhadap keputusan yang dibuat.
Menurut Azalina, rekod menunjukkan bahawa MPPN tidak aktif semenjak tahun 1995 dan belum ada perancangan untuk mengaktifkan semula MPPN, tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri selaku Menteri yang dipertanggungjawabkan dengan hal ehwal petroleum di bawah Akta 144.
Walau bagaimanapun, katanya Majlis Tenaga Negara (MTN) telah diaktifkan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri berhubung Dasar Tenaga Negara dan mesyuarat pertama telah dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 2 April 2024.
Katanya, keanggotaan MTN turut melibatkan wakil daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak.
Tambahnya, MTN adalah bertujuan untuk mengemudi hala tuju sektor tenaga negara dan memastikan kebertanggungjawaban dan kepemilikan yang kukuh oleh pelbagai kementerian dan agensi pelaksana dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif dasar berkaitan tenaga. – HARAKAHDAILY 24/10/2024











