Tanggungjawab JKPTG berdasar permohonan waris si mati

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam konteks harta pusaka, aset beku bermaksud harta milik si mati yang masih belum diuruskan pengagihan kepada waris-waris yang berhak.

- Advertisement -

“Hal ini berlaku kerana tiada sebarang permohonan daripada waris si mati untuk mendapatkan Surat Kuasa Tadbir atau Perintah Pengagihan dari agensi yang berkuatkuasa menurut perundangan di Malaysia,” kata Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan [PN-Permatang Pauh] di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam soalannya, Muhammad Fawwaz meminta Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alammenyatakan usaha Kerajaan dalam menyelesaikan aset beku umat Islam yang sudah melebihi RM100 bilion.

Kata menteri itu lagi, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (JKPTG) merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang diberi kuasa menerusi Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98] bagi menguruskan pembahagian harta pusaka kecil bernilai tidak melebihi RM5 juta.

Tambahnya, tanggungjawab itu dilaksanakan oleh JKPTG berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh waris si mati.

Katanya, pihak JKPTG tidak mempunyai maklumat mengenai harta pusaka individu yang tidak dipohon petisyen pengagihan di bawah Seksyen 8, Akta 98.

Oleh yang demikian, ujarnya dakwaan bahawa nilai aset beku umat Islam sudah melebihi RM100 bilion adalah tidak tepat dan boleh dipertikaikan.

Katanya, sebagai alternatif bagi menangani masalah aset beku, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menerusi JKPTG telah menguatkuasakan pindaan Akta 98 menerusi Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022 [Akta A1643] mulai 15 Julai 2024.

Melalui pindaan tersebut, ujarnya bidang kuasa JKPTG dalam urusan pembahagian harta pusaka kecil telah dinaikkan daripada RM2 juta kepada RM 5 juta serta merangkumi kedua-dua aset alih dan aset tak alih.

“Langkah ini dapat menggalakkan waris si mati mengemukakan petisyen pembahagian setelah menimbangkan faktor seperti kos pengurusan yang lebih rendah kerana tidak perlu membayar kos guaman sekiranya kes dirujuk ke Mahkamah Tinggi; dan permohonan pembahagian pusaka yang melibatkan harta alih sahaja kini boleh dirujuk kepada pihak JKPTG sebagai alternatif kepada Amanah Raya Berhad yang mengenakan caj yang lebih kompetitif,” katanya.

Dengan pindaan itu, jelasnya waris si mati boleh mendapatkan perkhidmatan pembahagian harta pusaka yang disediakan oleh Kerajaan melalui JKPTG dengan kos yang minimum. – HARAKAHDAILY 24/10/2024

- Advertisement -