Bila nak guna ‘windfall levy’ untuk tanam semula sawit?

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) menjelaskan bahawa beliau telah berkali-kali mencadangkan agar sebahagian dari ‘windfall levy’ atau cukai keuntungan luar biasa dikutip kerajaan digunakan sebagai subsidi bagi membantu pemain industri sawit untuk penanaman semula.

Menurutnya, kadar penanaman semula yang rendah pada waktu ini yang menjurus kepada berkurangnya hasil minyak sawit mentah (CPO) adalah disebabkan kos penanaman semula yang sangat tinggi.

“Sebenarnya apa yang disebut oleh Timbalan Menteri sebenarnya berlaku peringkatan hasil sawit ini sebenarnya saya tidak melihat kesan daripada ‘replanting’ tetapi sebenarnya kita ‘recover’ daripada Covid-19 kerana keperluan pekerja di ladang tu bertambah.

“Tetapi kalau kita lihat di Sabah sendiri sebenarnya kalau kita lihat statistik tahun lepas dan tahun ni sebenarnya hasil di Sabah berkurang,” katanya sewaktu mengajukan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

- Advertisement -

Jelasnya, 26 peratus daripada jumlah keluasan sawit daripada 5.7 juta hektar itu adalah pekebun kecil di mana dengan nilai peruntukan RM100 juta setahun dilihat tidak mempunyai kemampuan untuk ‘mengejar’ sasaran 4.0 peratus yang dianggap sangat perlahan.

Katanya, dengan peruntukan sebanyak RM100 juta setahun yang diumumkan, beliau menjangkakan bahawa jumlah pokok getah tua bukan semakin berkurang tetapi akan semakin bertambah.

Tambahnya, syarikat-syarikat kecil dan sederhana seperti THP, TDM, Bausted dan sebagainya menghadapi masalah untuk melakukan penanaman semula kerana kosnya yang mahal sekitar RM25,000 hingga RM26,000 sehektar.

“Saya dah bahas, dah sebut banyak kali tahun lepas tentang bagaimana kerajaan boleh menggunakan ‘windfall levy’ ini yang hari ini digunakan untuk mensubsidi minyak makan rakyat Malaysia.

“Diambil sedikit (windfall levi), diberi subsidi supaya kita boleh mempercepatkan proses penanaman semula dan kita boleh menaikkan kembali prestasi kita punya CPO pada 19.5 tan ataupun 20 tan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, kadar penanaman semula untuk tahun 2022 adalah 1.7 peratus yang merangkumi 97,130 hektar.

Tambahnya, pada tahun lepas pula, kadar penanaman semula telah meningkat daripada 1.7 kepada 2.3 peratus iaitu merangkumi 132,000 hektar, namun ia masih belum mencapai tahap yang disasarkan iaitu 4.0 peratus.

“Kalau kita berjaya 4.0 peratus penanaman semula dapat kita lakukan, jadi untuk keluasan tanah yang sama kita boleh menambah lagi 1.5 juta tan CPO kepada pasaran ini.

“Jadi Tan Sri Ahmad bersetuju dengan cadangan Yang Berhormat Tangga Batu untuk memperjuangkan penambahan bajet untuk penanaman semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

- Advertisement -