
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menubuhkan sekolah khas untuk murid yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman agar mendapat ruang dan peluang dalam pendidikan yang sempurna.
Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata, pelajar yang tinggal di kawasan itu mengalami masalah jarak sekolah dari rumah yang agak jauh.
“Bagaimana pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman, sebab lazimnya mereka sering ditimpa masalah yang agak unik iaitu jauh.
“Sekolah di sesetengah negeri tidak ada di daerah yang kecil, malah ada di daerah yang besar sahaja atau di ibu negeri.
“Selain itu, bagaimana pula dengan cabaran pelajar yang berkeperluan khas iaitu pekak dan bisu. Infrastruktur yang lain, peranti agak berbeza dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam soalan asal, beliau meminta Kementerian Pendidikan mengkaji keperluan untuk memperluas akses sekolah yang menawarkan pendidikan khas serta kadar kemasukan Murid Berkeperluan Khas (MBK) sehingga kini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata kementeriannya akan menjalankan saringan untuk memantau keperluan pelajar.
“Sekiranya ada keperluan kementerian akan mengambil usaha untuk cuba membuka kelas Pendidikan Khas Integrasi khasnya untuk pelajar yang terbabit.
“Selain itu, kementerian juga akan menyediakan infrastruktur ataupun apa jua peralatan yang secukupnya kepada pelajar dari segi latihan, manakala setiap guru juga diberikan latihan mengikut keperluan atau ketidakupayaan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024











