Peruntukan RM41 juta Pusat terus kepada KADA

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan telah menerima peruntukan RM20 juta untuk mereka bentuk, membina dan menyiapkan pam mudah alih di Kemubu dan di Lemal sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, semua peruntukan itu disalurkan terus kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan bukannya melalui kerajaan negeri.

“Peruntukan tersebut melibatkan pembekalan, pemasangan 88 cusec pam dengan lapan nos di Kemubu dan empat nos di Lemal, proses pengukuhan tebing dan kerja-kerja yang berkaitan,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sudah memilih kontraktor dan kerja-kerja pembinaan akan bermula pada penghujung Oktober ini yang mana projek tersebut dijangka siap Julai 2025.

Katanya lagi, selain itu kerajaan negeri sudah meluluskan cadangan pelaksanaan projek pembaikan cerucuk keping di Stesen Pam Kemubu sebagaimana yang telah dibentangkan oleh pihak KPKM dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 18 September lalu.

Tambah ADUN Selising itu lagi, projek pembaikan cerucuk keping Kemubu itu melibatkan peruntukan sebanyak RM21 juta di mana juga telah disalurkan terus kepada pihak KADA bertujuan untuk membaiki benteng air sementara Kemubu.

“Benteng air sementara Kemubu telah dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun 1981 dan Low Weir Kasa telah dibina oleh Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP) pada tahun 2016 bertujuan meninggikan paras air Sungai Kelantan.

“(Tetapi ia) tidak lagi berfungsi secara optima disebabkan kerosakan. Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi Kerja Pembaikan Benteng Sementara Pembaikan Cerucuk Keping Kemubu telah diadakan pada 8 Oktober lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

- Advertisement -