
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mewujudkan dasar yang telah meletakan falsafah Kelantan sebagai peneraju dalam keharmonian hubungan antara kaum.
Exco Belia, Sukan, NGO Dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad berkata, asas tersebut telah dibuat di Kelantan sejak 34 tahun PAS memegang tampuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar itu berpandukan prinsip agama Islam di bawah gagasan Membangun Bersama Islam selain doktrin dalam Rukun Negara terhadap pembentukan negara.
“Kita meletakan dasar antara kaum ini sebagai satu agenda kerajaan negeri kerana melihat kepada kepentingan memelihara perpaduan, adat resam dan kebajikan rakyat pelbagai kaum.
“Usaha ini bagi kita berdepan dengan situasi semasa termasuk ancaman semasa dan faktor arus pemodenan seperti cabaran dalam media sosial di Kelantan khususnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Perpaduan Nasional ‘Kelantan Model Perpaduan’ diadakan di Dewan Teratai Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum Kelantan (PEKA), Lim Guan Seng dan Timbalan Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan (UBES), Ustaz Mohd Firdaus Nawi.
Pada majlis itu lebih 500 orang bukan Islam dari seluruh negara menghadiri karnival yang dibuat bagi memberi gambaran sebenar aspek keharmonian kepelbagaian kaum di Kelantan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu menjelaskan, kerajaan negeri melalui PEKA mempromosikan perpaduan walaupun lebih 90 peratus penduduknya beragama Islam.
Beliau berkata, langkah itu bagi menangani ancaman perkauman yang disemarakkan lagi dengan perkembangan media sosial di mana ia dilihat semakin keterlaluan kebelakangan ini.
“Kita telah wujudkan satu program khusus untuk meneruskan keharmonian ini di Kelantan iaitu PEKA yang secara tidak langsung menjadi jambatan dan penghubung antara rakyat.
“Ini bagi kita berdepan dengan ancaman dan faktor arus pemodenan semasa seperti ancaman dalam media sosial di Kelantan khususnya, kita buat program ini bersama PEKA,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/10/2024












