Jalan kehidupan: Pilihan di tangan kita

- Advertisement -

ALLAH telah memberikan panduan yang jelas: siapa yang murah hati, bertakwa, dan percaya kepada kebaikan, Allah akan mudahkan jalannya ke syurga.

Sebaliknya, bagi mereka yang memilih kedekut, sombong, dan menolak kebenaran, mereka akan berhadapan dengan kesulitan—jalannya menuju neraka. Inilah formula yang Allah tetapkan. (Rujuk: Surah Al-Lail, 5-10).

- Advertisement -

Bayangkan kita ingin ke Kota Bharu, dari Kampung Panchor. Ada banyak jalan yang boleh dipilih—dari Pengkalan Chepa, Sabak, Tok Kasim, Panji, dan Kubang Kerian.

Kita juga boleh lalu Pasir Puteh, tapi mungkin akan sampai lambat. Jika kita ambil jalan dari Tanjung Mas, lebih cepat kita sampai kerana ia lebih dekat. Begitulah dengan hidup ini: jalan itu kita yang pilih.

Kalau kita tiba lambat, tak boleh kita salahkan sesiapa—kita yang tentukan pilihan jalan kita. Kalau kita ikut jalan yang agama ajar, pengakhiran hidup akan jadi baik. Tetapi kalau pilih jalan sebaliknya, jangan salahkan takdir atau Allah. Itu adalah pilihan kita sendiri.

Dalam hidup, kita diberikan ikhtiar dan usaha. Atas pilihan kita inilah terletaknya tanggungjawab. Ikhtiar bermaksud pilihan untuk memilih jalan dekat atau jauh, mudah atau sukar.

Usaha pula adalah apa yang kita kerahkan. Contohnya, bila waktu azan Maghrib, kita ada pilihan: pergi ke pasar malam atau ke masjid. Itu ikhtiar kita, dan usaha kita menentukan sama ada kita mencapai kebaikan atau sebaliknya.

Allah tidak pernah memaksa sesiapa untuk memilih jalan yang sukar atau mudah. Dia hanya menyediakan jalan, dan kita sendiri yang memilih. Jika kita memilih jalan yang Allah redhai, maka kita akan sampai ke destinasi yang diredhai juga. – HARAKAHDAILY 18/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -