Alasan dangkal DAP hidupkan pilihan raya PBT

- Advertisement -

AYER KEROH: Walaupun DAP mengemukakan pelbagai alasan untuk merasionalkan pelaksanaan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun ianya dilihat terlalu dangkal.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Jasin, Ustaz Zulhilmi Aziz Abdul Hannan berkata, usaha itu tidak hanya akan gagal menyelesaikan masalah, tetapi juga boleh mencipta masalah baru seperti pepatah Inggeris berbunyi ‘the cure is worse than the disease’.

“Dalam Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 baru-baru ini, kepimpinan DAP masih mencadangkan pelantikan Ahli Majlis Kuala Lumpur melalui sistem yang mirip kepada amalan PBT.

“YB Tan Kok Wai menyatakan bahawa ini adalah langkah progresif ke arah menghidupkan semula pilihan raya PBT. Namun, cadangan ini memerlukan penilaian yang lebih mendalam,” katanya.

Jelas Ustaz Zulhilmi, pilihan raya PBT sebenarnya tidak lagi relevan kerana peruntukan mengenai pilihan raya ini telah dimansuhkan melalui Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Akta 473) yang dihentikan sejak 1976.

Tambah beliau, DAP perlu melupakan hasrat ini kerana tiada justifikasi yang kukuh untuk melaksanakannya dalam konteks semasa.

“Mengambil inspirasi daripada sistem politik Barat untuk mengembalikan pilihan raya PBT adalah idealistik dan tidak sesuai dengan realiti politik dan masyarakat Malaysia.

“Sistem politik kita mempunyai keunikan tersendiri yang memerlukan pendekatan berbeza. Sebab itu ada pepatah berbunyi ‘setiap situasi ada perkataannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dimuatnaik di laman _Facebook_ rasmi Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin semalam.

Tambah beliau, alasan bahawa pilihan raya PBT dapat membanteras rasuah dan salah guna kuasa juga perlu dipersoalkan.

“Adakah ia benar-benar penyelesaian terbaik? Terdapat pendekatan yang lebih efektif, seperti meningkatkan sistem pengawasan sedia ada dan memperkukuh peranan SPRM serta pihak berkuasa lain,” katanya.

Tambah beliau lagi, dakwaan bahawa pilihan raya PBT akan meningkatkan kompetensi pegawai dan mewujudkan persaingan yang sihat juga harus dinilai dengan lebih kritikal.

Menurut beliau, risiko kewujudan permainan politik dalam kalangan pegawai PBT tidak boleh diabaikan, dan ini berpotensi menjejaskan profesionalisme mereka.

“Semua hujah yang dikemukakan adalah bersifat spekulatif, bukan konstruktif. Pelaksanaan pilihan raya PBT mungkin membuka lebih banyak ruang kepada rasuah dan salah guna kuasa, di mana pegawai PBT akan lebih tertumpu kepada populariti politik berbanding tugas utama mereka.

“Isu rasuah dan salah guna kuasa boleh ditangani melalui undang-undang sedia ada, tanpa memerlukan pilihan raya PBT. SPRM dan agensi penguatkuasaan lain sudah memiliki kuasa serta instrumen yang mencukupi untuk membanteras masalah ini,” katanya.

Kata Ustaz Zulhilmi realiti politik Malaysia kini semakin kompleks, dengan kekerapan pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK).

Menurut beliau lagi, menambah pilihan raya PBT hanya akan membebankan rakyat dan kerajaan, selain melibatkan kos inggi yang sepatutnya dialokasikan untuk keperluan lain lebih penting.

“Mengadakan pilihan raya secara berasingan pula, seperti di Kuala Lumpur sahaja adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi. Pilihan raya perlu dilaksanakan serentak di peringkat nasional untuk memastikan kesaksamaan dan keadilan,” katanya.

Hakikatnya kata beliau, pilihan raya PBT dimansuhkan dahulu kerana ia menghalang proses pembangunan negara, justeru menghidupkannya semula bukanlah langkah progresif, malah ia berpotensi menjadi langkah regresif membebankan pentadbiran dan rakyat.

“Motif sebenar di sebalik desakan DAP untuk melaksanakan pilihan raya PBT perlu diteliti, adakah ia demi kepentingan rakyat, atau sekadar permainan politik parti?

“Kesimpulannya, jika pilihan raya PBT adalah satu-satunya cara DAP untuk kekal relevan, maka mereka hanya memperdaya rakyat yang tidak memahami implikasi sebenar.

“DAP perlu menghentikan usaha ini dan fokus kepada isu-isu yang lebih mendesak dan relevan untuk rakyat Malaysia. Langkah ini jelas menunjukkan kepentingan parti mereka melebihi kepentingan sebenar rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2024

- Advertisement -