
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi menegaskan bahawa tiada kelulusan baharu kawasan pembalakan diberikan sejak beliau dilantik ke jawatan tersebut.
Sebaliknya jelas beliau, hanya kelulusan penebangan dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri kepada syarikat konsesi yang telah membayar premium kepada kerajaan negeri.
Sanusi membidas pihak yang menangguk di air keruh menyalahkan kerajaan negeri kononnya memberi kelulusan baharu aktiviti pembalakan sehingga menyebabkan berlaku banjir lumpur di beberapa daerah.
“Kalau nak kaitkan banjir berlaku disebabkan (oleh) pembalakan, sedangkan banjir pun berlaku di negeri lain. Banjir (berlaku juga) di Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, tak ada pembalakan pun (di situ),” bidasnya.
Menjawab tuduhan yang tular di media sosial kononnya lesen pembalakan diberi kelulusan pada tahun 2023 iaitu ketika beliau menjadi Menteri Besar, katanya dakwaan itu tidak tepat sama sekali.
Sebaliknya dedah Sanusi, lesen pembalakan yang dikatakan diluluskan pada 2023 itu adalah lesen penebangan dari kelulusan dibuat pada tahun 2016 lalu iaitu ketika Kedah diterajui Barisan Nasional (BN).
Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-kanak, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri di Dewan Seri Mentaloon, di sini semalam.
“Kesemua kawasan konsesi yang diluluskan merupakan kelulusan pada tahun 2011 sehingga 2020. Setiap tahun Jabatan Perhutanan akan proses lesen tebangan berdasarkan kuota yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara.
“Mengikut kuota yang ditetap iaitu 4,200 hektar setahun yang boleh ditebang. Syarikat yang dapat kelulusan, contohnya pada 2016 kemudian membayar premium dan buat tandaan sempadan, akan dapatlah lesen tebangan,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah mendakwa, kononnya aktiviti pembalakan sedang dilakukan di kawasan hutan simpan menjadi antara penyumbang kepada banjir teruk yang melanda Sik dan Baling.
Pengerusinya, Mohd Sobri Ramlee mendakwa, hutan yang digondolkan seperti di Hutan Simpan Rimba Teloi dan Bukit Enggang dijadikan ladang hutan menyebabkan tiada lagi pokok berfungsi sebagai penahan air hujan.
Kawasan hutan berkenaan juga dakwa aktivis itu, merupakan sebahagiannya dijadikan ladang durian musang king, ladang solar serta aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE).
Justeru kata Sanusi, perkara yang dibangkitkan beberapa NGO alam sekitar itu bukanlah perkara baharu, malah kerajaan negeri juga telah beberapa kali menjelaskan perkara sama, namun masih dijadikan isu.
“Ladang hutan, tanaman durian dibangkitkan lagi, semua tu bukan benda baru, dah lama. Bila pokok itu dah ditanam, takkan saya nak pergi tebang pula. Tu gila ka? Kalau dah kita tu gila, jangan anggap orang lain pun gila juga,” bidasnya lagi.
Mengulas lanjut, ADUN Jeneri itu juga menegaskan, kawasan hutan yang dicerahkan berisiko mengalami hakisan dan pihak berwajib akan memastikan ia tidak mengundang kerosakan teruk.
“Di negeri lainpun berlaku banjir lumpur, banyak faktor. Hukum alam Allah yang cipta begitu, alam ini bekerja berdasarkan apa yang Allah ciptakan, kita (sebagai manusia) uruslah elok-elok.
“Jabatan Perhutanan bersama pakar-pakar jabatan teknikal, (Jabatan) Alam Sekitar, semua ada pakar-pakar yang beri pandangan. Janganlah kalau kita tahu sikit-sikit, kita buat macam kita tahu semua.
“Saya sendiripun dapatkan penjelasan daripada Pengarah Jabatan Perhutanan,” tambah beliau.
Dalam pada itu katanya lagi, aktiviti pembalakan adalah di bawah kawalan Jabatan Perhutanan Negeri berdasarkan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan.
Malah tiada pembukaan ladang hutan baharu di bawah pentadbiran beliau termasuk penebangan ‘cuci mangkuk’ di Hutan Simpan Ulu Muda berlaku seperti yang didakwa pihak tertentu.
“Jangan asyik nak hentam orang saja. Semua ikut prosedur dan proses yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Perhutanan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 18/10/2024











