
KUALA LUMPUR: Penyalahgunaan dadah dan bahan yang tidak terkawal adalah ancaman kepada pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.
Katanya, lebih membimbangkan, sebahagian besar daripada kes yang dilaporkan melibatkan golongan muda berumur antara 15 dan 40 tahun.
Menurutnya, berdasarkan kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2022, dianggarkan seramai 106,000 remaja berumur 13 hingga 17 tahun pernah mengambil dadah seumur hidup mereka (prevalens: 5.2 peratus).
Daripada jumlah itu, ujarnya 60,000 remaja masih aktif menggunakan dadah (prevalens: 2.4 peratus) manakala dalam kalangan remaja yang pernah mengambil dadah tersebut, majoriti (72.2 peratus) telah mula mengambil dadah sebelum berumur 14 tahun.
Katanya, manakala data yang dilaporkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebanyak 65 peratus daripada penagih dadah yang menjalani rawatan serta pemulihan di fasiliti AADK pada tahun lalu adalah individu yang menagih dadah jenis sintetik membabitkan golongan remaja dan belia.
Tambahnya, banyak kajian juga telah mengaitkan isu kesejahteraan sosial sebagai penyumbang kepada masalah dadah, ini termasuklah kawalan kendiri oleh institusi kekeluargaan dan masyarakat setempat.
Menurutnya lagi, melihat kepada isu yang semakin meruncing ini khususnya keterlibatan golongan muda dengan gejala dadah, pelbagai agensi perlu bekerjasama dalam membendung remaja daripada terjebak dengan najis dadah.
“Ini termasuklah pengukuhan institusi keluarga, pemantapan persekitaran sekolah dan institusi pengajian yang selamat dan kondusif serta memperkasa komuniti setempat,” ujarnya Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) di Dewan Rakyat, hari ini.
Misbahul Munir dalam soalannya meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan tindakan yang telah diambil khususnya untuk membantu golongan remaja yang terlibat dadah di mana sekitar 60,000 remaja didapati mengambil dadah dan 3 daripada 4 remaja mula mengambil dadah sebelum 14 tahun berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022.
Menteri itu berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ialah Program Kesejahteraan Keluarga melalui siri kursus keibubapaan bagi memantapkan institusi kekeluargaan seperti program keluarga@kerja dan Ilmukeluarga@LPPKN.
“Program-program ini memberi tumpuan cara gaya keibubapaan, pengurusan tekanan dan pengurusan konflik keluarga.
“Dari Januari hingga September 2024, sejumlah 1,034 kursus telah dilaksanakan di seluruh negera, memanfaatkan sejumlah 7,577 orang ibu bapa,” katanya.
KPWKM juga, jelasnya prihatin dalam membantu ibu bapa dari segi pengukuhan jati diri dalam membina hubungan yang positif dan kukuh dengan anak menerusi pelaksanaan program Naungan KASIH.
“Objektif program ini adalah memberi kemahiran keibubapaan untuk membina institusi keluarga yang resilien serta mewujudkan hubungan yang positif antara ibu bapa dan anak,” katanya.
Selain itu, ujarnya LPPKN juga melaksanakan program advokasi pencegahan penyalahgunaan dadah melalui 18 buah Pusat Remaja KafeTEEN, satu buah Trak KafeTEEN untuk program outreach dan aplikasi mobile KafeTEEN untuk meningkatkan akses remaja kepada maklumat dan perkhidmatan kesihatan reproduktif, khidmat kaunseling psikososial serta program pendidikan dan pembangunan kemahiran termasuklah penyebaran maklumat berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, usaha dalam memerangi gejala dadah ini tidak boleh hanya dimainkan oleh secara silo.
Justeru, ujarnya penglibatan rentas agensi yang bertanggungjawab dalam advokasi pencegahan dan intervensi secara berterusan perlu diperkuatkan termasuk usaha kolaboratif antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi serta KPWKM. – HARAKAHDAILY 17/10/2024











