Hanya 10,300 individu carum Skim Keselamatan Sosial

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lebih 90 peratus daripada 177,000 individu yang bekerja sendiri di Kelantan tidak mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob berkata, orang bekerja sendiri (OBS) masih tidak mempunyai kesedaran untuk mencarum.

“Sehingga kini hanya 10,300 OBS yang memanfaatkan skim berkenaan. Sedangkan SKSPS menawarkan pelbagai faedah termasuk perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah orang tanggungan, elaun layanan sentiasa, faedah pengurusan mayat.

- Advertisement -

“Selain itu kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional serta faedah pendidikan,” katanya selepas penyerahan bayaran faedah pengurusan jenazah kepada Siti Nor Zuriati Abdullah, 35, balu mangsa lemas, Allahyarham Mahmud Ali di Kampung Aur Tanjung hari ini.

Menurut Nora kadar caruman hanya serendah RM23.30 bagi tempoh setahun selepas diberikan subsidi lebih 90 peratus oleh kerajaan.

Beliau berkata, jumlah caruman tidak membebankan, malah memberi faedah kepada pencarum sekiranya berlaku kemalangan.

“Manfaat itu bukan sahaja untuk diri malah anak-anak sehingga berusia 21 tahun atau menamatkan ijazah pertama. Inisiatif subsidi bagi skim ini dilanjutkan sehingga 31 Disember hadapan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -